“Saya Kahwin Dengan Nurshahila, Bukan Dengan Shila Amzah” – Ubai MZ Sedia Terima Kecaman

Berbaki tiga hari sahaja lagi sebelum bergelar suami kepada penyanyi Shila Amzah, pempengaruh media sosial, Ubai memaklumkan dia sudah bersedia menghadapi sebarang kecaman dan kritikan selepas ini.

Katanya, sebagai orang biasa yang berkahwin dengan seorang selebriti, pastinya banyak perkara kurang enak akan didengar termasuklah ada yang mengaitkan tentang kewangan dan sebagainya.

Namun, pemilik nama Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25 , sedar bahawa dia tidak boleh menutup mulut orang untuk bercakap tentang mereka.

“Banyak persepsi orang bila kahwin dengan selebriti, lagi-lagi bila kita pula tak dikenali seperti mana pasangan, jadi banyaklah kata-kata yang kurang enak. Tapi, benda-benda itu saya tak endahkan dan saya dan Sha memang tak ada masalah.

“Saya tak ada nak tumpang ke apa, kami memang sama-sama. Untuk persiapan perkahwinan ini pun, kami bekerjasama buat semuanya.

“Jadi, dari segi orang cakap kewangan ke apa, yang itu (pendapatan) memang saya pun ada kerja saya. Sha (Shila) dengan kerja dia. Kami dua-dua bekerja.

“Apa yang saya tahu, saya mengahwini Nurshahila. Saya tak kahwin dengan Shila Amzah. Bagi saya, Shila Amzah adalah orang lain, orang yang berbeza,” katanya.

 

Sebelum ini, Ubai dan Shila  mengaku bercinta pada Februari lalu menerusi sesi siaran langsung di TikTok.

Dan, pada 27 Mei lalu, pasangan ini mengikat tali pertunangan dalam satu majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga, saudara rapat dan kenalan masing-masing dan bakal melangsungkan perkahwinan pada 5 Ogos ini.

Untuk rekod, Shila sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada 2018 tetapi bercerai tahun lalu. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais, 4.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin