’Saya Maafkan Dia…’-Air Mata Sheila Rusly Tumpah Terkenang Insiden Lalu

Susulan perselisihan faham yang berlaku beberapa bulan lepas, produser terkenal Sheila Rusly mengaku sudah memaafkan segala perbuatan pelakon Janna Nick.

Kata Sheila ketika ditemui di Majlis Pertunjukan Koleksi Terkini Ariani semalam, dia faham setiap individu tidak pernah lari dari membuat kesilapan.

“ Saya ada menerima mesej permohonan maaf daripada Janna. Sebagai manusia saya terima permohonan maaf dia.

“ Tapi buat masa ini, saya masih belum boleh ‘hadam’ perbuatan dia yang terlalu peribadi untuk dikongsi,” kata Sheila sebak.

Buat masa ini, penerbit drama Leftenan Zana ini juga mengaku masih sukar menerima tindakan pelakon itu terhadap dirinya dan keluarga.

“ Manusia kadang-kadang buat silap, lupa dari mana kita bermula. Tak apa, dia masih muda dan perjalanan karier masih jauh.

“ Apa yang dia dah lakukan saya maafkan dia,” katanya ikhlas.

Sementara itu, Sheila sempat menitip sedikit pesanan kepada aktres pilihan Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019)

“ Jadilah seorang artis yang membanggakan pengikut dan fokus dengan apa yang anda lakukan.

“ Di samping itu, sentiasa ikhlas dan jujur dengan apa yang anda buat,” akhirnya ringkas.

Sekitar Februari lalu, Sheila Rusly telah memuat naik gambar mempromosikan drama bersiri, Leftenan Zana dengan kapsyen “Kalau rasa nak tengok silakan… Mungkin tidak sehebat yang diharapkan dan tak semudah juga untuk sis (merujuk kepada dirinya selaku penerbit) menyiapkan kerana tak semua jasa akan dikenang,”

Status itu telah mengundang pelbagai spekulasi dan biarpun penerbit terbabit tidak menyebut sebarang nama, tidak kurang netizen yang mengaitkannya dengan Janna.

Ramai pemerhati dunia hiburan membuat andaian mereka tidak lagi rapat selepas Sheila memuat naik foto mempromosikan drama bersiri, Leftenan Zana, yang turut dibintangi aktres muda itu.

Oleh: SGMS Fas/ Roy

SGMS Faida