Peminat Taja Majlis Resepsi Mac Ruhayu

Penyanyi Mac Ruhayu terharu dengan usaha peminat dan rakan-rakan yang sanggup menaja hampir RM100,000 untuk majlis resepsi khas yang diadakan di hotel De Angsana, Johor Bahru, semalam.

“Saya benar-benar tidak menyangka mereka sanggup bertungkus lumus menaja majlis resepsi saya dan suami di sini.

“Dari bilik penginapan, pelamin, kek, solekan, pakaian, hidangan dan sistem bunyi semuanya ditaja. Saya jadi macam ‘Princess’ pada malam ini,” katanya.

Penyanyi dikenali melalui lagi Ditakdir Kita Bersama itu berkata, ucapan terima kasih terutamanya kepada Mabless Lagend Sdn Bhd yang menjadi antara tonggak utama mengumpul semua penaja pada malam itu.

Mac ditemui pada resepsi itu turut meluahkan rasa terharu kerana rakan-rakan artis era 90-an turut hadir memeriahkan acara.

Antara artis era 90-an yang hadir ialah Baby dan Erin kumpulan Res2, Mazleela, Amy kumpulan Grand dan Melati.

Ditanya mengapa memilih Johor Bahru sebagai majlis resepsi kedua walaupun dia dan suami bukan berasal dari Johor, penyanyi yang baru muncul dengan single Moga Kau Mengerti, berkata semuanya berlaku tanpa disangka-sangka.

“Bermula daripada acara ‘reunion’ artis 90-an yang berjaya mengumpulkan lebih 20 artis pada 27 April tahun lalu, kemudian acara pelancaran album 5 Suara awala tahun ini dan kini resepsi ini pula, entah mengapa saya jadi serasi.

“Pendek kata lokasi dan hotel ini seolah-olah sudah menjadi rumah kedua saya,” katanya berseloroh.

Selain majlis resepsi, pasangan itu dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan showcase daripada rakan-rakan artis antaranya Mazleela, Melati dan Amy Grand.

Malah pasangan itu turut menghiburkan para tetamu dengan tampil berduet menyanyikan lagu Angin Malam.

Imbas kembali, Mac Ruhayu bergelar isteri kepada Sulaiman Mohamed pada 27 Mac lalu selepas 13 tahun menjadi ibu tunggal membesarkan empat anak lelaki yang berusia antara 15 hingga 24 tahun.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida