“Saya Nak Jenguk Rumah Saya Di Sana, Dah 2 Tahun Ditinggalkan…” – Baby Shima Bakal Terbang Kembali Indonesia

Penyanyi dangdut yang mencipta nama di Indonesia, Baby Shima, 29, mengakui bimbang akan momentum kerjayanya di negara seberang yang tergendala selama tempoh dua tahun akibat pandemik bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurut Baby Shima atau pemilik nama penuh Nor Ashima Ramli, dia berhari raya di kampung halamannya di Johor dan kemudian bakal pulang ke Indonesia dalam tempoh terdekat.

“Alhamdulillah kali ini kita dapat meraikan raya bersama. Saya hanya mengambil cuti seminggu sahaja disebabkan jadual yang padat.

“Selepas beraya di Johor saya akan berangkat pula ke Indonesia untuk menyambung kerja-kerja yang tertangguh.

“Dalam pada itu, saya juga mahu jenguk keadaan rumah saya di sana, sudah dua tahun ditinggalkan sejak pandemik, harap-harap semuanya berada dalam keadaan baik.

“Sejujurnya saya risau juga akan momentum kerjaya di sana kerana sudah lama tidak ke Indonesia. Namun, saya menggunakan platform media sosial untuk berkomunikasi dengan peminat di sana,” kata Shima.

Tambah Shima, selain melawat rumahnya di sana, dia akan terbang ke Jakarta untuk melunaskan kerja yang tertangguh.

Namun, dia juga belum mempunyai jadual tempoh bakal berada di Indonesia.

“Alhamdulillah, rezeki saya selepas negara memasuki fasa endemik ini semakin mencurah-curah.

“Selain single raya, saya akan terbang ke Jakarta untuk merakamkan lagu ciptaan Pasha Ungu, dan kemudian ke Jawa Timur pula untuk berkolaborasi dengan beberapa artis di sana.

“Oleh itu, saya belum mempunyai tempoh masa berapa lama bakal berada di Indonesia. Jika perlu dan ada kerja yang perlu dilunaskan di Malaysia, maka saya akan berulang alik seperti biasa,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kerjaya, Shima yang tampil dengan single raya berjudul Pulang berharap hasil ciptaan terbarunya itu dapat diterima baik oleh pendengar.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir