“Saya Rasa Hidup Ini Kosong…”, Farahdhiya Lawat Pusara Ayah Setiap Hari

Pemergian ayahnya yang tersayang pada 9 Januari lalu memberi impak yang besar kepada kehidupan penyanyi dan pelakon, Farahdhiya hari demi hari kerana Farah amat rapat dengan arwah ayahnya dan menjadi tempatnya bermanja.

Farah mengakui dia seperti kehilangan arah kerana terlalu rindukan Allahyarham yang meninggal dunia akibat masalah Sekatan Pulmonari Kronik (COPD), iaitu penyakit paru-paru yang mempengaruhi pernafasannya dipercayai akibat tabiat merokok, sejak lima tahun lalu. 

“Arwah selalu menghantar mesej bertanya di mana saya berada, bila mahu pulang dan macam-macam lagi. 

“Ayah selalu berpesan jangan balik lambat sangat…Sekarang semuanya sudah tiada. Saya rasa hidup ini kosong. Saya jadi ‘lost’ dan hilang tempat bermanja,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati itu sentiasa mengingati momen-momen indah bersama Allahyarham yang selalu menjadi temannya berbual dan penasihatnya dalam apa jua masalah sekalipun. 

“Macam-macam hal kita kongsi termasuk mengenai sesiapa yang saya baru kenali. 

“Arwah tidak lupa nasihat agar saya tidak tersilap langkah dalam membuat keputusan.  Malah, saya akan merujuk dia sebelum mengambil apa-apa tindakan.

“Sebenarnya, sukar untuk saya menerima takdir tertulis ini.  Namun saya redha. Saya berdoa agar Tuhan permudahkan segala-galanya untuk saya teruskan hidup ini tanpa ayah. 

“Saya hilang tempat bergantung dan mengadu…Dialah nyawa saya selama ini,” katanya lagi. 

Walau bagaimanapun, Farah bersyukur kerana sepanjang hayat Allahyarham, dia akan cuba sedaya upaya untuk menyajikan makanan kegemaran ayahnya apabila dia tidak bekerja. 

Bapa Farahdhiya, Mohd Amin Zubir meninggal dunia pada usia 68 tahun di sebuah pusat perubatan pada 9 Januari lalu, jam 11. 55 pagi .
Kredit Foto: Instagram @farahdhiya_fd
Del14