Billie Eilish Artis Wanita Pertama Memenangi Empat Trofi Utama Anugerah Grammy

Penyanyi berusia 18 tahun dari Amerika Syarikat, Billie Eilish menepati ramalan apabila dia berjaya membolot empat trofi utama di Anugerah Grammy 2020 iaitu Rakaman Terbaik, Lagu Terbaik, Artis Baru Terbaik dan Album Terbaik, sekaligus menjadi artis wanita pertama yang memenangi empat kategori utama itu sepanjang penganjuran anugerah muzik berprestij itu. 

Eilish memenangi lima trofi daripada enam pencalonan Grammy dan selain empat anugerah utama tersebut, Eilish juga memenangi Album Pop Terbaik. 

Album studio Eilish yang berjudul When We All Fall Asleep, Where Do We Go? yang diterbitkan bersama abangnya, Finneas telah mengungguli carta Billboard 200 dan menjadi album terhangat sejak dipasarkan tahun lalu. 

Sewaktu menerima trofi bagi Album Terbaik, Eilish yang kelihatan terkejut dengan kemenangannya berkata “Boleh saya katakan yang saya rasa Ariana lebih berhak memenangi trofi ini?” 

Bukan kaleng-kaleng, bakat penyanyi muda ini tidak dapat disangkal dan dengan memenangi empat kategori utama dalam anugerah Grammy menunjukkan bakatnya diiktiraf oleh industri muzik Amerika Syarikat dan antarabangsa. Malah, Eilish bakal menyanyikan lagu tema bagi filem James Bond terbaru iaitu ‘No Time To Die’.

Penyanyi kulit hitam Lizzo yang mendapat lapan pencalonan pada anugerah Grammy kali ini meraih tiga trofi Grammy bagi kategori Persembahan Tradisional R&B Terbaik, Album Urban Kontemporari Terbaik dan Persembahan Pop Solo Terbaik.

Anugerah Grammy ke-62 yang berlangsung di Staples Centre juga menyaksikan Alicia Keys dan kumpulan Boyz II Men menyanyikan lagu ‘It’s So Hard To Say Goodbye To Yesterday’ bagi memperingati lagenda bola keranjang Kobe Bryant, anaknya Gianna dan mereka yang terkorban dalam tragedi nahas helikopter di Calabasas, Los Angeles yang berlaku pada sebelah pagi.  

Kredit Foto: Instagram @billieeilish & @popsugar & @gettyimages

Del14