“Saya Tak Merajuk Tapi…” – Wan Maimunah Sebak Ditawar RM200 Untuk Berlakon Telefilem

Pelakon veteran, Wan Maimunah akui terasa hati apabila ditawarkan untuk membintangi sebuah telefilem namun hanya dibayar sebanyak RM200 sahaja.

Memetik laporan Harian Metro, Wan Maimunah berkata isu bayaran rendah kepada pelakon veteran sering menjadi luahan tetapi sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

“Saya tidak merajuk dan masih sayangkan karier lakonan ini kerana sudah sebati dengan diri. Tapi, bila difikirkan bayaran tidak setimpal dan amat rendah, baiklah saya duduk di rumah dan berehat. Rezeki Allah itu luas dan ada di mana-mana.

“Cuma, rasa sedih itu membuat hati saya sebak mengenangkan RM200 saja ditawarkan untuk berlakon sebuah telefilem. Jumlah babak mesti banyak dan sudah tentu memenatkan. Tapi, tak apalah memang bukan rezeki saya,” ujarnya kepada Harian Metro.

Susulan itu, Wan Maimunah menyatakan bahawa dia lebih rela menerima tawaran berlakon daripada syarikat produksi baharu untuk berlakon filem pendek kerana bayaran yang diberikan lebih baik berbanding syarikat produksi lama ekoran diskriminasi bayaran ini.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari