‘Saya Tak Sailang Alvin’- Pengacara Baharu ICSYV2 Jawab Dakwaan

Pengacara baharu I Can See Your Voice Malaysia musim kedua Sean LJE menyangkal tanggapan bahawa dia ‘mencaras’ pelakon Alvin Chong susulan pelantikannya sebagai pengacara baru program hiburan itu.

Kata pengacara berusia 25 tahun ini, dia menganggap tawaran ini sebagai rezeki dan tidak mempunyai masalah dengan Alvin.

“Saya tidak ‘sailang’ dia. Tawaran ini datang kepada saya secara baik dan saya menerima tugasan ini sebagai satu cabaran baru.

“Saya percaya masing-masing mempunyai kekuatan sendiri dan mungkin pihak produksi ingin mencuba sesuatu yang baru pada musim ini,” katanya kepada Xtra.

Tambah Sean yang juga dikenali sebagai pelakon, hubungan dia dan Alvin juga berjalan baik dan menganggap tiada isu berbangkit dalam hal ini.

“ Ketika menerima tawaran ini saya tidak maklumkan padanya kerana percaya dia pun faham perkara ini.

“Kami saling menghormati dan tidak menyalahkan sesiapa sebaliknya terima rezeki yang datang,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran mengacarakan program ICSYVMY2 bersama pengacara Shuk Sahar, Sean berkata, dia berterima kasih dengan tenaga produksi yang banyak membantu.

“ Saya tidak pernah mengendalikan program yang ada tetamu serta artis undangan. Gementar juga tetapi tenaga produksi termasuk rakan selebriti dalam program ini banyak memberi semangat,” katanya.

(ICSYVMY2 kembali untuk musim kedua bermula 23 Jun ini pada setiap Ahad, jam 9 hingga 10.30 malam di TV3.

Program yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan oleh CJ ENM itu bakal menampilkan penyanyi misteri bersama barisan artis jemputan tanah air sepanjang 13 minggu bersiaran.

SGMS Faida