Categories: Hiburan

“Saya Tak Tahu Ada Masalah Sehingga..” – Pendengaran Terjejas, Ella Guna Hearing Aid

Penyanyi rock popular, Ella, 57, kini menggunakan alat bantuan pendengaran gara-gara fungsi kedua-dua belah telinganya menurun.

Menurut penyanyi dengan yang terkenal dengan gelaran Ratu Rock ini, dia tidak mengetahui dirinya mempunyai masalah terbabit sehingga mengadakan pemeriksaan dengan Global Hearing Care Centre Malaysia (GHCC).

“Sebelum ini saya tak tahu pendengaran saya terjejas. Selepas melakukan pemeriksaan, keputusan mendapati pendengaran telinga kiri berkurang kepada 70 peratus manakala sebelah kanan hanya tinggal 80 peratus daripada bacaan 200 peratus.

“Selepas itu, saya mendapat bantuan GHCC dan saya menggunakan alat bantuan pendengaran Bernafon Alpha. Syukur, Alhamdulillah, kini masalah saya dapat diselesaikan,” katanya.

Ella ditemui ketika Program Komuniti Global Hearing Care Centre di Pavillion Bukit Jalil, sebentar tadi.

Tambah pemilik nama Nor Zila Aminuddin ini, dia merasakan perbezaan ke arah positif selepas menggunakan alat bantuan pendengaran.

“Perbezaan selepas menggunakan alat bernafon alpha ini ia mampu seimbangkan pendengaran saya.

“Walaupun saya menggunakan alat bantuan pendengaran namun, saya tidak pernah rasa ia sebagai kekurangan. Saya bersyukur kerana masalah itu dapat diatasi dengan alat berteknologi tinggi.

“Pasti ada ramai yang mengalami masalah serupa, lebih-lebih lagi rakan-rakan dalam bidang sama. Hadi jangan malu untuk mendapatkan rawatan berbanding membiarkan ia terus melarat atau tidak tahu status kesihatan pendengaran sendiri.

“Ia boleh melindungi dan untuk mengelak masalah bertambah buruk. Kita juga harus menjaga kesihatan telinga dan pendengaran dengan melakukan pemeriksaan berkala,” katanya.

Terdahulu, GHCC dengan kerjasama Ella dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganjurkan sebuah program komuniti yang memfokuskan tentang  kesihatan pendengaran serta kelancaran pertuturan disetiap peringkat usia.

Program yang dinamakan “Ke arah pendengaran dan pertuturan yang lebih baik” ini turut sama menyaksikan perasmian kolaborasi antara Global Hearing Care Centre Malaysia dan ratu rock negara, Ella iaitu edisi ekslusif alat bantu dengar jenama Bernafon Alpha “RockQueen x GHCC”.

Menurut Pengarah Pemasaran dan Operasi Global Hearing Care Centre, Lyn Ooi, pentingnya pendedahan tentang penjagaan pendengaran seawal usia muda.

“Seeloknya bermula dari usia kanak-kanak lagi dalam kalangan ibu bapa. Kesihatan pendengaran harus diutamakan.

“Dengan adanya program ini, kami berharap agar mereka di luar sana tidak cuma menganggap masalah pendengaran cuma akan terjadi seiring dengan peningkatan usia,” katanya.

Tujuan utama program ini diadakan  adalah  untuk menanam kesedaran di kalangan masyarakat di setiap lapisan usia, agar menitikberatkan tentang penjagaan kesihatan pendengaran selain memupuk sikap ambil tahu tahap pendengaran mereka dengan lebih awal melalui sesi saringan pendengaran yang dikendalikan oleh barisan audiologis di Global Hearing Care Centre Malaysia.

Padin