Categories: Hiburan

3 Kali Olah Skrip Untuk Beri Impak! Menanti Senja Tampilkan Faizal Hussein, Sherie Merlis, Khatijah Tan.. Bakal Hangatkan Slot Samarinda

Penerbit Hariff Ahamat dan Rosnita Abdul Rahman yang mewakili syarikat produksi Anomali Media & Production mendedahkan mereka mengolah skrip sebanyak tiga kali sehingga lewat memulakan penggambaran drama bersiri Menanti Senja.

Bakal bersiaran di slot Samarinda TV3, Menanti Senja menampilkan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Sherie Merlis, Khatijah Tan, Johan As’ari, Kodi Rasheed, Trisha Ooi, Natasha Mahyan dan ramai lagi.

“Skrip diolah sebanyak tiga kali sehingga kami lewat memulakan penggambaran. Anomali enggan mengambil mudah soal jalan cerita, lagi-lagi apabila naskhah ini merupakan kemunculan pertama kami di slot Samarinda.

ARTIKEL BERKAITAN: Percaya Gabungan Naskhah Sarat Mesej, Sentuhan Pelakon Senior Dalam Menanti Senja

“Kami mahu jalan cerita sampai, dialog juga memberi impak serta memudahkan penonton menangkap cerita yang kami sajikan.

“Jadi, apabila kami meneliti semula, kami mengolah skrip lebih tiga kali sehingga benar-benar berpuas hati, barulah kami memulakan penggambaran,” kata Hariff.

Memasuki usia dua tahun dalam dunia penerbitan, Rosnita mendedahkan Anomali mempunyai perancangan untuk muncul dengan filem sekitar tahun hadapan.

“Kami masih baru dalam dunia seni namun kami gembira dapat belajar pelbagai perkara. Team produksi juga sering duduk bersama dan berbincang dan melakukan kajian mengenai apa yang digemari penonton.

“Insya-Allah, kami akan muncul pula dengan projek filem. Produksi filem dan drama bersiri atau telefilem memang mempunyai beza, jadi kami sedang giat membuat penyelidikan untuk muncul dengan produk yang mantap. Semoga semuanya dipermudahkan,” kata Rosnita lagi.

Hariff dan Rosnita ditemui di set penggambaran Menanti Senja di Kajang, baru-baru ini.

Menampilkan Marjiena Abdul selaku penerbit penyelaras, drama bersiri ini mendapat sentuhan Faizal Nadxaman selaku sutradara.

Menanti Senja dijangka bakal ditayangkan di TV3 tahun hadapan.

Padin