Sayu! Shuib ‘Throwback’ Video Ayash Affan Dipangku Raja Permaisuri Agong – “Anak Awak Dah 2 Tahun Sayang, Bertemu Nanti Di Syurga”

Hari ini genap dua tahun cahaya mata bongsu pasangan selebriti Shuib dan Allahyarham Siti Sarah, iaitu Ayash Affan.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkongsi semula rakaman yang memaparkan putera bongsunya itu dipangku oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Untuk info, Tunku Azizah turut menyambut ulang tahun keputeraannya semalam.

“Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran yang ke-63 semalam 5 Ogos 2023.

“Semoga Allah beri kesihatan yang baik, terus di berkati dan dirahmati dunia dan akhirat. Terus menjadi kesayangan rakyat Malaysia sampai bila-bila. Aminn,” ucap Shuib.

Bapa kepada empat cahaya mata ini mendoakan agar putera bongsunya itu menjadi anak soleh dan diberi kesihatan yang baik.

“Hari ini 6 Ogos 2023 genap Ayash Affan 2 tahun,

“Semoga terus sihat dan menjadi anak soleh dunia dan akhirat. Anak awak dah 2 tahun Sayang @sitisarahraissuddin, bertemu nanti di Syurga, Aminn,” tulis Shuib.

Untuk info, Shuib berkahwin dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.

Jun lalu, Shuib sah menjadi suami kepada usahawan, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, atau Watie, dengan sekali lafaz.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamat Nikahi Watie, Shuib Tamatkan Zaman Duda Dengan Sekali Lafaz

Khairil Khusyairi