Scha Alyahya & Awal Ashaari Lebih Utamakan Keselamatan Sepanjang Bercuti Di Jepun

Pengacara Awal Ashaari mengakui dia dan isterinya, Scha Alyahya lebih mengutamakan keselamatan sepanjang bercuti di Jepun susulan gempa bumi yang melanda negara matahari terbit itu.

Menurut Awal, Scha sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan lokasi yang dikunjungi mereka sekeluarga berada dalam keadaan selamat.

“Sepanjang berada di sana Scha paling risau dengan keselamatan kami semua walaupun lokasi kami menginap berada dalam keadaan terkawal.

“Dia punya tahap risau itu sampai setiap lokasi yang kami kunjungi dia sudah tentukan di mana tempat kami akan berlindung jika berlaku gempa bumi.

“Malah dia turut muat turun aplikasi untuk mendapatkan maklumat dan amaran terkini berkaitan gempa bumi dan tsunami.Tapi Alhamdulillah sepanjang bercuti di sana, tiada sebarang amaran yang kami terima,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami Dalam Metro Waktu Itu…” – Awal Ashaari & Keluarga Berada Di Jepun Semasa Gempa Bumi Berlaku

Tambah Awal, ini merupakan pengalaman kali pertama mereka berdepan dengan detik cemas itu selepas beberapa kali bercuti di sana.

“Jujurnya saya rasa orang luar lebih berasa takut dengan keadaan yang berlaku berbanding penduduk di sana.Ketika berita ini disiarkan, penduduk di Jepun menjalani kehidupan seperti biasa dan mereka tidak cemas.

“Kemudian video yang tular di media sosial pula ada yang tidak benar, ramai yang kongsikan maklumat palsu serta muat naik video kejadian lama yang pernah berlaku menyebabkan orang luar berasa sangat takut sedangkan semuanya baik-baik saja,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain