Categories: HiburanTrending

Sebak! Ini Pesanan Ibu Ubai Sebelum Ditidurkan – “Tolong Jaga Diri, Adik & Teruskan…”

Pempengaruh media sosial, Ubai MZ tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi pesanan yang dititipkan oleh ibunya, Rohani Jamal sebelum ditidurkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Isnin lalu.

Memetik laporan Gempak, kata Ubai, ibunya berpesan kepadanya untuk menjaga diri dan adiknya dengan baik malah meminta Ubai untuk meneruskan majlis perkahwinan bersama tunangnya, penyanyi Shila Amzah yang dijangkakan berlangsung pada Ogos depan.

Artikel Berkaitan: “Tarikh Dah Dekat Tapi…” – Persiapan Hampir 70% Siap, Shila & Ubai Bakal Nikah Ogos Ini

“Ibu ditidurkan bagi mengurangkan rasa sakit yang ditanggung. Semalam sebelum dia ditidurkan dia pesan suruh saya menjaga diri dan jaga adik dengan baik.

“Malah ibu pesan lagi apa pun jadi pada dia… Diam ahu majlis perkahwinan kami diteruskan seperti yang dirancang. Saya sedih dan menangis bila dia berkata begitu.

“Saya paling rapat dengan ibu, jadi kami banyak berkongsi cerita bersama. Lagipun dia orang paling teruja dan gembira bila dapat tahu saya dan Shila hendak berkahwin,” ujarnya kepada wartawan Gempak.

Malah, Ubai mengakui bahawa keadaan ibunya itu sedikit sebanyak mengganggu mentalnya dalam melakukan persiapan perkahwinan dan menjaga ibunya setiap hari di hospital.

“Boleh katakan setiap hari saya menangis. Melihat keadaan ibu lagi sebegitu. Saya menjenguknya di hospital setiap hari dan bergilir-gilir jaga dengan ayah.

“Mental saya juga terganggu… saya jadi ‘lost’. Majlis pun semakin dekat dan lihat lagi keadaan ibu begini.

“Saya harap ibu kuat dan dapat melawan penyakit ini. Doktor juga beritahu akan lakukan yang terbaik untuk kesihatan ibu,” jelasnya lagi.

Untuk info, ibu Ubai mengalami pendarahan pada bahagian rahim sejak 8 Julai akibat menghidapi kanser ovari yang disahkan pada Januari tahun ini.

Terdahulu, Ubai dan Shila telah mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat.

Sumber: Gempak

 

Atiqah Johari