Bakal Bersalin Tempoh Terdekat, Neelofa Pilih Berpantang Secara Tradisional Untuk Kelahiran Ke-2 – “Saya Ambil Bidan Kampung”

Umum mengetahui selebriti popular, Neelofa kini sedang sarat hamil dan bakal melahirkan cahaya mata keduanya tidak lama lagi.

Susulan itu, memetik laporan Harian Metro, Neelofa berkongsi bahawa dia memilih untuk berpantang secara tradisional kali ini.

Malah, dia juga akan menggunakan khidmat bidan kampung dari Terengganu sepanjang tempoh berpantang selama 44 hari.

“Sebelum ini saya menggunakan khidmat bidan moden, namun untuk kelahiran kedua ini saya dan suami sepakat mengambil bidan kampung.

“Tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru memandangkan saya pernah berpantang cara moden. Kini ingin mencuba pengalaman lain iaitu khidmat bidan dari kampung suami.

“Kalau orang kata penjagaan agak ketat, kita hanya dengar daripada mulut orang saja. Jadi, saya mengharapkan proses itu dapat memberikan kesan yang baik kepada ibu bersalin,” jelasnya.

Kongsi Neelofa, dia berasa gementar untuk kelahiran kedua jika memikirkan proses yang bakal dilaluinya dalam tempoh terdekat.

“Hari ini saya ada memaklumkan kepada suami mengenai debaran bila tarikh bersalin semakin hampir. Secara kebetulan, saya baru berjumpa doktor untuk pemeriksaan bulanan.

“Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik dan bayi juga sihat. Mohon semua doakan agar proses melahirkan ini dipermudahkan,” ujarnya.

Untuk rekod, Neelofa berkahwin dengan Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz pada 27 Mac 2021.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 1.

Artikel Berkaitan: “Aura Dia Lain Macam” – Hadir Acara Fesyen Walaupun Sarat Hamil, Netizen Kagum Dengan Neelofa

Artikel Berkaitan: Bakal Lahirkan Anak Kedua, Neelofa Minta Netizen Hormat Privasi – “Kali Ini Janganlah ‘Over’ Sangat”

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari