Dituduh Simpan Arak Dalam Rumah & Dibesarkan Di Kelab Malam, Amylea Azizan Tuntut Pembuat Fitnah Mohon Maaf!

Penyanyi dan penulis lirik Amylea Azizan meluahkan rasa kesal apabila ada individu yang melemparkan dakwaan terdapat minum keras di dalam rumahnya.

Menerusi pendedahan di Instagram (IG), Amylea berkata dakwaan tersebut adalah satu fitnah terhadapnya dan meminta individu tersebut tampil membuat permohonan maaf.

“Orang ini menuduh saya ada arak di dalam peti ais rumah saya. MasyAllah, dia respond kepada satu artikel yang menulis tentang saya yang tidak pernah minum arak walau setitik dalam hidup saya.

“Kepada siapa yang kenal dengan orang ini, saya beri masa untuk dia tampil buat permohonan maaf kepada saya sebab saya tidak akan maafkan dosa fitnah dan cuba menyebarkannya,” katanya.

Malah, pelantun lagu Kendati ini menuntut individu tersebut memohon maaf kepada arwah ibunya kerana mendakwa dia dibesarkan di kelab malam.

“Saya tuntut juga individu ini untuk meminta maaf kepada ibu saya, dan saya bersimpati pada dia kerana tidak berpeluang untuk meminta maaf kepada arwah ibu saya.

“Sebelum bercakap awak kena faham apa yang mereka telah lakukan untuk membesarkan saya dan apa yang ayah dan ibu saya ikhtiarkan selepas itu untuk menjauhkan mereka dari terus berkerja di situ dan berjaya,” kongsinya.

Tambah Amylea, dia mempersoalkan mengapa mencari keburukan kisah hidupnya dan bukan pengajaran yang diambil.

“Kenapa tidak melihat kebaikan dan pengajaran tentang cerita saya, tapi hanya mencari keburukan. Adakah semua datang dari dunia yang tidak cerah akan berakhirnya gelap? Dan yakinkan kamu di besarkan tidak diuji begini akan diterima ibadahnya.

“Siapa kamu untuk berkata begitu lagi sekiranya Allah menerima taubat?,” tulisnya

Dalam perkongsian sama, Amylea menyatakan dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap individu tersebut.

“Saya masih berfikir untuk saman fitnah ini tapi saya beri masa untuk diri saya dan orang ini untuk muhasabah. Semoga Allah beri jawapan yang terbaik. Dia patut tahu dia boleh lukakan hati saya tapi bukan ibu saya,” ujarnya.

Khairil Khusyairi