Gempak! Joe Flizzow Hibur 1500 Penonton Di ‘This Is Johan Live In Concert’

Buat julung kalinya, penyanyi hiphop popular, Joe Flizzow tampil dengan konsert solo selepas 15 tahun dalam industri.

Konsert yang diberi nama ‘This Is Johan Live In Concert’ telah berlangsung dengan meriahnya di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu malam.

Persembahan pembuka tirai dimulakan dengan lagu Iller-Iller, Bergerak, All Around My World, Island Girl, Running, Do It, Duit dan banyak lagi.

Lebih menarik, persembahan Joe atau Johan Ishak diiringi oleh 16 pemuzik dan tiga vokal latar yang diarah oleh pengarah muzik, Marques Young.

Joe atau mesra dengan gelaran Mr President ini menghiburkan para peminatnya dengan mendendangkan 36 buah lagu di mana dua karya baharu yang bakal dilancarkan dalam album baharunya tidak lama lagi.

Bukan itu sahaja, Joe turut menyanyikan lagu-lagu yang mengimbau awal kerjayanya sebagai penyanyi hiphop seperti Alhamdulillah, Dua Dunia, Anak Ayam, Ala Canggung, 2Phat Baby dan Jezzebelle.

Suasana menjadi bertambah meriah apabila Joe membuat kejutan dengan berduet bersama Adeep, Azlan, Sona One, Alyph dan MK K-Clique menerusi lagu popular seperti CIAO, Apa Khabar, Satu Malam Di Temasek, Kuasa, Lu Lari, Sang Saka Biru dan Sampai Jadi.

Konsert solo ini dihadiri oleh 1500 orang peminat yang datang daripada pelbagai negeri malah turut dihadiri oleh peminat dari luar negara seperti Singapura dan London.

‘This Is Johan Live In Concert’ ini turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selain rakan artis seperti Ismail Izzani, Sherry Al Hadad, Intan Najuwa, Ernie Zakri, Sabronzo dan Angel kumpulan Dolla, Sherry Ibrahim, Azira Shafinaz, Sophia Liana dan ramai lagi sebagai tanda sokongan.

Atiqah Johari