Categories: SelebritiTrending

“Nak Kahwin Kena Ada Keinginan” – Lebih 7 Tahun Menduda, Along Cham Belum Terbuka Hati Cari Pengganti

Pelawak dan pelakon, Along Cham akui belum terbuka hati untuk mencari pasangan baharu setelah lebih tujuh tahun berstatus bapa tunggal.

Namun, memetik laporan Harian Metro, Along berkongsi bahawa anaknya, Ahmad Daniel sering mengusiknya untuk berkahwin lagi.

Walaubagaimanapun, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad menyatakan keinginannya untuk berkahwin semula masih tiada dan tidak mempunyai masa untuk mencari pengganti.

“Masih solo lagi, terlalu sibuk dengan kerja dan cari rezeki. Kehidupan saya sekarang, kalau ada penggambaran, lepas habis terus balik rumah. Rakan-rakan pun kadang-kadang bising tak ikut lepak kalau diajak.

“Saya kurang berpeleseran nak cari jodoh. Nak kahwin kena ada keinginan, betul tak? Kalau kata bercinta, bercinta sajalah sampai 10 tahun. Anak saya okay saja, dia paling kuat menyakat. Tapi, saya cakap nantilah, ada (jodoh), adalah,” ujarnya.

Tambahnya, untuk mendirikan rumah tangga kembali bukan perkara yang mudah malah dia perlu mengutamakan anaknya.

“Kalau saya nak kahwin kali ini, kena pastikan keputusan itu adil untuk anak saya. Sama juga dengan ibu tunggal yang ada anak di sisi, dia kahwin, suami dia kena terima anak dia.

“Saya pegang satu saja, pakar agama selalu cakap kalau lambat itu bersebab. Mungkin Allah nak bagi saya bantu keluarga dulu, bantu adik saya yang masih belajar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Along meluahkan rasa kesal apabila ada pihak tularkan semula kontroversi yang melibatkan kisah silam bekas isterinya di media sosial.

“Baru-baru ini, saya ada terkilan sedikit sebab ada pihak tularkan semula kisah silam itu. Sebelum ini pun pernah sampai ke pengetahuan sekolahnya. Tapi, dia (anak) ambil hal itu dengan tenang.

“Tak tahulah penularan yang terbaharu ini sudah merebak ke sekolahnya juga. Saya ada minta kenalan rapat suruh padam hantaran itu. Satu, ia tak bagus untuk anak saya dan tak bagus juga kepada perkahwinan bekas isteri saya. Ia boleh mendatangkan kemudaratan,” luahnya lagi.

Untuk rekod, Along pernah berkahwin dengan bekas peserta Akademi Fantasia (AF4), Zila Seeron pada 23 Januari 2010.

Namun begitu, mereka telah bercerai pada 29 Ogos 2016.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari