Masih Terima Tawaran Beri Ceramah, PU Azman Jawab Sebab Fizikal Kurus

Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Azman hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban untuk perbicaraan lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari 2022 dan Julai 2022 pada pagi Isnin.

Memetik laporan mStar, PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 42, hadir ditemani peguamnya itu memaklumkan bahawa dia masih menerima tawaran memberi ceramah walaupun berdepan dakwaan ini.

“Job masih macam biasa, cuma tak kongsi di media sosial. Jemputan ceramah seperti biasa,” ujarnya.

Hadir ceria dengan berkemeja berwarna mustard dan berkopiah hitam namun fizikalnya masih kelihatan kurus sejak berdepan dakwaan kes amang seksual fizikal ini.

Susulan itu, Azman menjelaskan bahawa dia kurus kerana mengamalkan diet dan melakukan aktiviti mendaki.

“Ramai tanya kenapa kurus. Saya diet. Aktiviti juga seperti biasa. Saya banyak pergi hiking,” kata PU Azman.

PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada 12 Oktober tahun lalu.

Melihat kepada pertuduhan, PU Azman melakukan amang seksual fizikal kepada dua remaja lelaki berumur 16 dan 17 tahun dengan perbuatan lucah yang melampau.

Perbuatan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu rumah di Taman Tiara Sendayan, Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022.

Oleh itu, pihak pendakwaan berkemungkinan akan memanggil 12 orang saksi bagi memberi keterangan antaranya doktor, ibu bapa, mangsa dan pegawai penyiasat.

Bukan itu sahaja, PU Azman juga berdepan tujuh dakwaan berkaitan kesalahan jenayah seksual terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.

Sumber & Kredit Foto: mStar

Atiqah Johari