Categories: SelebritiTrending

“Paling Pantang Orang Biadap & Berlagak” – Terkejut Dilabel ‘Rudest Celeb’, Ini Penjelasan Scha Alyahya!

Beberapa hari lepas, tular mengenai beberapa individu membuat perbandingan mengenai artis Malaysia yang bersikap biadap dan sopan menerusi trend ‘Nicest, Rudest Celeb You’ve Ever Met’ di media sosial.

Tidak terkecuali, nama pelakon versatil Scha Alyahya turut terpalit dalam isu ini dan dia mengakui turut terkejut apabila namanya menjadi bualan.

Memetik laporan Harian Metro, Scha atau pemilik nama Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya memaklumkan bahawa mungkin dia terlepas pandang kerana dia juga tidak gemar dengan individu yang bersikap biadap.

“Mungkin sedar tak sedar, saya pernah tak tegur orang, tak tersenyum. Jadi, mustahillah kita sebagai manusia ini tak pernah buat salah. Cakap pasal biadap, jauh sangatlah saya nak biadap dengan orang.

“Saya paling pantang dan tak suka orang biadap, berlagak, sebab bagi saya, tak payah. Pada pengakhirannya, kita semua sama,” katanya.

Dalam pada itu, Scha juga berkesempatan menzahirkan mohon maaf kepada mana-mana peminat atau pihak yang terguris hati dengan tindakan yang tidak disengajakan.

“Kalau ada yang pernah mengalami hal kurang menyenangkan begitu dengan saya, saya nak minta maaflah. Mungkin saya tak sedarkah, ada masalahkah, tak sengaja.

“Jadi harap rasa tidak senang itu mungkin daripada saya punya salah yang tak sedar. Maaf kerana buatkan anda terasa begitu,” ujarnya.

Walaubagaimanapun, Scha menyifatkan trend yang tular di media sosial itu sebagai permainan sementara.

“Trend kat Twitter begitu, kadang-kadang okay, kadang-kadang tak. Cuma janganlah terlalu taksub sampai jatuh hukum terhadap individu itu. Hati-hati dengan hal yang kita nak cakap, kongsi, label orang.

“Ini kerana kesannya mungkin mereka tak nampak dan hanya mainan. Tetapi memberi kesan kepada orang yang kena itu,” luahnya lagi.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari