Categories: SelebritiTrending

“Pihak Sana Masih Lagi Degil” – Gesa Ali Puteh Bayar Hutang, Hidayah Bakal Ambil Tindakan

Isu masih berpanjangan, balu Allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Norhidayah Mohd Ali akui sudah banyak bersabar dalam menuntut hutang bernilai RM76,000 yang belum dilangsaikan oleh pelawak, Ali Puteh.

Memetik laporan Harian Metro, Hidayah memaklumkan bahawa dia telah memberi tempoh yang lama kepada pihak Ali untuk menyelesaikan tunggakan hutang itu.

“Sudah beberapa kali arahan dari mahkamah, termasuk peguam saya meminta pihak sana (Ali) menyelesaikan bayaran RM76,000 yang saya menang dalam kes saman pada 18 Februari, tahun lalu.

“Tapi, pihak sana masih lagi degil, dan melanggar perintah mahkamah. Malah, tiada usaha dan inisiatif dilakukan untuk melangsaikan hutang piutang itu kepada saya,” katanya kepada Harian Metro.

Malah, Hidayah juga memberitahu kakak kepada Ali turut tidak membayar hutangnya sebanyak RM2,000 seperti yang diperintahkan oleh mahkamah selepas kalah saman terhadapnya.

Oleh itu, Hidayah menyatakan dia akan mengambil tindakan jika pihak Ali masih berdiam diri dan tidak membayar hutangnya.

“Sebelum ini, saya masih berbaik hati dan bertimbang rasa untuk memberi ruang dan masa padanya (Ali) untuk menyelesaikan hutang ini. Tetapi, dia tidak memandang serius perkara ini dan tindakan susulan perlu saya buat.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang susulan yang lebih berat agar pihak sana dapat menjelaskan hutang piutang ini dengan kadar segera kerana saya tidak mahu ada timbul apa-apa masalah yang berhubung kait dengannya lagi selepas ini,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan: “Jangan Buat-Buat Lupa Ya!” – Lantang Tuntut Hutang, Hidayah Dedah Ali Puteh Belum Bayar RM76,167.28

Artikel Berkaitan: Hidayah Tuntut Hutang Tahun Lepas Belum Dibayar, Ali Puteh Tak Mahu Layan – “Kalau Layan Jadi Masalah…”

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari