Categories: SelebritiTrending

Individu Tawar ‘Underground Job’ Dengan Bayaran RM175,000, Ini Respons Siti Khadijah Halim – “Janganlah Sanggup Gadai Maruah!”

Pelakon Siti Khadijah Halim berkongsi sebuah hantaran yang memaparkan seorang indvidu menawarkannya ‘pekerjaan’ dengan bayaran yang lumayan.

Menerusi perkongsian di Instagram Storiesnya (IGS), individu itu memberi tawaran ‘underground job’ dengan menawarkan bayaran sebanyak RM175,000 malah individu itu turut mendakwa ramai selebriti telah membuat pekerjaan ini.

“Beb, nak ambik job underground tak? Offer ni just untuk celebs, ramai yang buat. Untuk u offer payment 175k… job 4-5 jam jer and one off,” tulis individu itu.

Ditanya apa yang ditawarkan oleh individu itu kepadanya, Siti memaklumkan bahawa ia bukanlah pekerjaan yang baik dan ia sangat meragukan beserta jumlah bayaran yang banyak.

“Sejujurnya underground job tu… saya tak rasa ia sesuatu yang okay sebab selalunya kalau nak offer projek drama atau apa mesti melalui penerbit dan lain-lain. Underground job ni must be fishy dengan amaun yang begitu banyak dan skop kerja yang memerlukan masa singkat mestilah sesuatu yang meragukan,” katanya.

Tambahnya, ini bukanlah kali pertama dia menerima tawaran sebegini malah beranggapan dia menjadi target kepada individu sebegitu kerana gaya hidup sederhana yang dipaparnya di media sosial.

“Saya rasa mungkin sebab peribadi saya di Instagram yang tak menampakkan saya mewah dengan pemakaian saya yang biasa sebab itu dia tawarkan saya dengan jumlah wang sebegitu untuk umpan saya terima ‘job’ tersebut,” ujarnya ketika dihubungi XTRA.

Malah, pelakon drama Sekali Lagi Cinta Kembali ini juga menyatakan bahawa rakan-rakannya pernah didatangi individu begitu dan menasihatkannya untuk tidak membalas apa-apa mengenai tawaran tersebut.

“Ada yang mesej cakap mereka ada dapat benda yang sama dan jangan pernah sekali balas sebab nanti dia akan ugut kita sebab kita telah terima benda itu. Datang ia daripada kawan saya sendiri, kalau kita terima benda tu, nanti dia akan screenshot dan sebarkan,” jelasnya lagi.

Susulan itu, Siti sempat menitipkan pesan kepada rakan-rakan seperjuangannya untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran sebegitu sehingga menggadaikan maruah.

“Saya cuba untuk mengingatkan dekat kawan-kawan dan diri sendiri yang benda ini hanya sementara. Kalau kita betul-betul perlukan duit, kita perlu kerja keras dan janganlah kita sanggup menggadaikan maruah dan kita punya kerjaya untuk perkara yang tak pasti.

“Duit boleh habis, kerjaya tu nak pakai lama. Saya cuma nak ingatkan kawan-kawan lain yang terdesak memerlukan pertolongan kewangan,” tuturnya

Atiqah Johari