Categories: SelebritiTrending

“Tiada Langsung Salah Faham Dengan Dia” – Pembantu Rumah Larikan Diri, Sarimah Ibrahim Akui Trauma

Pelakon dan pengacara jelita, Che Puan Sarimah Ibrahim berkongsi pengalamannya berdepan dengan situasi di mana pembantu rumahnya melarikan diri kira-kira setahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, gara-gara insiden itu Sarimah menyatakan dia terpaksa menolak tawaran kerja pada ketika itu kerana tiada orang untuk menjaga anaknya.

Bukan itu sahaja, dia juga terpaksa menanggung kerugian besar akibat tindakan pembantu rumahnya itu.

“Kalau nak ikutkan kerugian, memang saya menanggung kerugian kerana sudah bayar mahal kepada pihak agensi dan itu tidak termasuk pemeriksaan kesihatan lengkap di klinik, barangan keperluan dan pakaian untuk pembantu rumah juga mencecah RM1,000.

“Malah, banyak ‘job’ yang saya terpaksa ‘cancel’ pada hari kejadian kerana tiada orang menjaga anak ketika itu.

“Pihak agensi ada hubungi bila dapat tahu kejadian itu tetapi kami terpaksa menunggu lama untuk dapat pembantu rumah yang baru,” katanya.

Ditanya mengenai gaji pula, Sarimah menyatakan dia membayar gaji pembantu rumahnya diantara RM1,400 hingga RM1,500 tidak termasuk keperluan lain.

Malah, dia juga telah menyediakan bilik yang selesa dan diperlukan untuk melakukan kerja ringan dan menjaga anak sahaja.

“Kami juga menyediakan bilik yang selesa untuk pembantu rumah seperti menyambut ahli keluarga yang baru kerana dia akan menjaga anak kami di rumah.

“Kerjanya juga ringan sahaja hanya bersihkan rumah dan menjaga keperluan anak serta mengawasinya di rumah bila kami keluar bekerja,” katanya.

Lebih mengecewakan, Sarimah memaklumkan bahawa pembantu yang bekerja tidak sampai dua bulan itu melarikan diri pada awal pagi.

“Difahamkan dia menipu pengawal keselamatan kediaman kami dengan memberitahu ada urusan kecemasan dan mahu keluar untuk membeli ubat.

“Dia juga tidak mencuri barang berharga atau membawa pakaian dan barangan yang kami sudah belikan sebaliknya hanya keluar rumah dengan membawa beg plastik serta memakai kemeja T sahaja seolah-olah kejadian itu sudah dirancang,” ujarnya lagi.

Susulan itu, selebriti kacukan Melayu-Irish ini mengakui insiden tersebut membuat trauma dan sukar untuk mempercayai orang luar.

“Saya juga berasa kasihan dengan anak, Tunku Sofia Najihah, 4 tahun yang nampak keliru kerana dia sudah mula mesra dengan pembantu rumah itu tetapi ditinggalkan begitu sahaja pada jam 4 pagi.

“Tiada langsung salah faham antara saya dengan pembantu rumah sebaliknya kami juga membelikan dia kek untuk menyambut hari jadinya beberapa hari sebelum kejadian itu,” kongsinya.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari