Selepas 14 Tahun, Bekas Pelajar AFI Hijrah Ke Malaysia?

Selepas 14 tahun meninggalkan pentas Akademi Fantasi Indosiar (AFI), pemilik nama Micky atau nama sebenarnya Micky Octapatika masih berjuang di dalam industri hiburan Indonesia.

Kesempatan bertemu dengan jejaka asal Pekan Baru di Kuala Lumpur baru-baru ini agak memeranjatkan kami. Bukan apa, penampilan Micky jauh berbeza berbanding dulu. 

Difahamkan, bekas peserta AFI musim kedua ini terbang ke Malaysia atas undangan pihak Kementerian Pelancongan Indonesia.

“ Saya ke sini sekadar memenuhi undangan nyanyian. Ya, saya masih aktif dalam bidang nyanyian cuma jarang tampil di dada akhbar. Maklum saja, seiring peredaran zaman semakin ramai pendatang baru dalam nyanyian.

“ Saya juga perlu bekerja keras bagi memastikan nama saya kekal relevan dalam industri nyanyian,” katanya yang berada di Malaysia hampir 10 hari.

Selain menjadi peserta AFI, Micky juga pernah berada di pentas The Voice Indonesia pada tahun 2013 namun perjuangannya tidak ‘selancar’ di pentas AFI.

Menurut salah seorang juri yang mengadili ketika itu, Glenn Fredly lagu yang dinyanyikan Micky tidak begitu sesuai dengan suaranya.

“ Mungkin tiada rezeki di pentas The Voice tetapi Tuhan beri peluang saya dalam bidang pengacaraan pula.

“ Saya mengacarakan beberapa program di Indonesia iaitu program Hit List di KTV. Dalam masa sama, saya juga merupakan pengacara bagi program Lejel Home Shopping di Sky TV,” katanya yang makin selesa bergelar pengacara.

Ketika diusik sama ada Micky tidak mahu terjun dalam bidang lakonan, jejaka tampan ini memaklumkan minatnya cenderung dalam bidang nyanyian.

“ Bukan tidak mahu tetapi nyanyian adalah minat utama saya. Kalau berlakon sesebuah filem atau sinetron, waktu menunggu agak lama. Berlainan pula jika undangan nyanyian, lebih cepat, seronok dan hasilnya lebih lumayan,” katanya tertawa.

Dalam perkembangan lain, Micky kini tampil dengan single berjudul Sedikit Peka Saja ciptaan komposer Ilham.

“ Genre pop balada masih menjadi ‘makanan’ saya. Lagu ini siap dirakam pada tahun lalu dan klip video juga boleh ditonton di saluran Youtube.

“ Dalam masa sama, jika diberi peluang saya mahu menembusi pasaran muzik Malaysia. Jika penyanyi Malaysia ramai yang mahu mengukuhkan nama di sana, mungkin saya boleh lakukan kelainan dengan bertapak di sini,” akhirinya.

Terdahulu, Micky pernah tampil dengan beberapa album kompilasi dan salah satu lagu hitsnya berjudul Kasih Terakhir. Semoga terus sukses ya Micky!  

SGMS Faida