Selepas 9 Tahun Berkahwin Tiada Anak, Marsha Milan Nekad Buat IVF – “Insya-Allah Tahun Depan…”

Penyanyi Marsha Milan nekad membuat keputusan untuk menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dalam usaha untuk mendapatkan zuriat tahun depan.

Memetik laporan Harian Metro, dia dan suami, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail akhirnya mencapai kata sepakat selepas berbincang dan membuat penyelidikan.

“Jika tiada halangan, Insya-Allah saya merancang untuk menjalani rawatan IVF tahun depan.

“Saya sudah membuat penyelidikan di beberapa pusat rawatan yang boleh mengikut syarat-syarat ditetapkan suami selain ada bertanya kepada rakan-rakan artis.

“Kos rawatan IVF ini mencecah lebih lima angka tapi ia bukan masalah utama sebaliknya saya perlu persiapkan diri daripada segi mental dan fizikal.

“Sebab itu saya fikir panjang dan perlu ambil masa yang tepat untuk melakukannya,” katanya.

Menurut Marsha, dia tidak pernah berasa tertekan dengan pertanyaan orang sekeliling meskipun sudah sembilan tahun belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.

“Tahun pertama berkahwin memang ada perasaan itu, tapi memasuki tahun kedua dan seterusnya saya okey saja.

“Saya minta mereka doakan dan itu juga cara terbaik untuk saya berfikiran positif.

“Saya tak tertekan dengan pertanyaan orang sebaliknya lebih kepada diri sendiri kerana siapa yang tidak teringin nak zuriat,” ujarnya.

Untuk rekod, Marsha dan Mohamed Shaiful telah mendirikan rumah tangga pada 31 Disember 2015.

Maya Basir