Tukar Lirik ‘Pinjam 100’ Guna Lagu Nur Nilam Sari Tular, Awie Anggap Sebagai Promosi Lagu-Lagu Lama

Penyanyi legenda rock, Datuk Awie memberitahu tidak ada masalah dengan tindakan lirik dua lagu yang ditukar iaitu lagu Tragedi Oktober dan Nurnilam Sari.

Memetik laporan Utusan, Awie menganggap perkara itu dapat mempromosikan lagu-lagu lama dan diberikan ‘suntikan’ lebih segar.

“Tak ada masalah pun. Baguslah, boleh promosi lagu-lagu penyanyi lama kan. Adakala saya sendiri pun turut nyanyi sama bila ada lagu tular.

“Tetapi kalau nak tanya pasal lirik yang ditukar, itu kena tanya penulisnya lah. Saya faham, mungkin ada kala boleh jadi sensitif tetapi tak apalah.

“Saya pun tengok TikTok, terhibur dengan video-video mereka. Sebab itu saya pun buat sekali. Ikut trend katakan,” ujarnya.

Susulan pertukaran lirik lagu yang bertemakan hutang, Awie disoal sama ada dia sedang menuntut hutang daripada mana-mana pihak, namun dia pilih untuk kunci mulut.

“Alamak, biarlah rahsia,” jawabnya ringkas.

Terdahulu, lagu Nur Nilam Sari ditukar lirik kepada Pinjam 100 tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Awie.

Maya Basir