Selepas Fail Saman Terhadap PU Syed & Ketua Pemuda PAS Kuantan, Ada Individu ‘Kafirkan’ & ‘Nerakakan’ Baby Shima

Nama penyanyi dangdut sensasi Baby Shima hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini apabila dia mengambil tindakan berani dengan memfailkan saman terhadap pendakwah bebas, PU Syed dan juga Ketua Pemuda PAS, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Baby Shima Fail Saman Fitnah Terhadap PU Syed & Ketua Pemuda PAS Kuantan

Terbaharu, Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli sekali lagi menjadi mangsa buli siber apabila ada individu mengkafirkan pelantun lagu Pura-Pura Bujang itu.

Tidak berdiam diri, Shima tampil memuat naik tangkap layar yang memaparkan kenyataan yang dibuat individu tersebut di Instagram, pada Isnin.

Tambah Shima, dia berharap agar dapat bersabar atas tindakan yang dilakukan individu tersebut dan hanya menunggu nasihat dari peguam.

“Posting seperti ini adalah contoh cara dakwah yang sangat baik dengan mengkafirkan saya.

“Semoga saya dilembutkan hati untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu bernama Abdullah Munawwier atau Abdullah Mujahir ini.

“Bimbang juga nanti dikatakan saya melawan orang ‘berdakwah’,” tulisnya.

Menerusi kenyataan yang dibuat individu tersebut, dia dengan berani mendakwa Shima seorang yang kafir dan neraka adalah tempat selayaknya buat penyanyi tersebut.

Terdahulu Shima memfailkan saman terhadap dua individu selepas dituduh ‘menjual agama’ apabila namanya diumumkan sebagai artis undangan sebuah acara di Kuantan, Pahang yang kebetulan berlangsung pada hari sambutan Israk dan Mikraj.

Khairil Khusyairi