“Sepatutnya Nak Potong Kedua-Dua Belah Kaki” – Anak Dedah Keadaan M.Daud Kilau Makin Teruk Sejak 3 Hari Lalu

Berita pemergian penyanyi legenda, Datuk M.Daud Kilau pada Isnin merupakan satu kehilangan yang besar dalam industri seni tempatan.

Manakan tidak, Allahyarham M. Daud yang terkenal dengan imej unik dan dendangan malar segar seperti Cek Mek Molek, Gila Judi dan Perigi Biru itu antara yang sering menjadi perhatian peminatnya.

Menurut anak sulungnya, Noraini Muhammad Daud, 58, berkata, arwah mula mengadu sakit kepala yang teruk pada malam Selasa lalu sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) dengan ambulans.

“Sepanjang perjalanan ke hospital itu, ibu saya beritahu ayah sudah tidak sedarkan diri.

“Sampai di hospital, doktor beritahu bacaan gula dalam darahnya tinggi dan perlu dimasukkan ke wad dan dipakaikan mesin bantu pernafasan pada malam itu juga.

“Sepanjang seminggu ayah di wad, ada hari dia sedar, ada hari dia tak sedar. Waktu sedar, kita dah tak boleh faham apa yang dia cakap,”katanya.

Tambahnya lagi, arwah bapanya itu sepatutnya menjalani pembedahan memotong kedua belah kaki akibat jangkitan kuman, namun ia ditunda sebanyak tiga kali berikutan keadaan kesihatannya yang tidak stabil.

“Sepatutnya hari Isnin ayah buat pembedahan tapi keadaan kesihatannya semakin merosot, doktor beritahu jantung ayah semakin lemah, jadi tak jadi buat pembedahan.

“Jam 4.30 petang tadi ayah mula tercungap-cungap,” jelasnya.

Terdahulu, Allahyarham disahkan meninggal dunia jam 4.46 petang tadi ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Jenazah M. Daud dimandikan dan dikafan di Hospital Teluk Intan (HTI)  sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh.

 

ARTIKEL BERKAITAN:Penyanyi Veteran Datuk M.Daud Kilau Meninggal Dunia

ARTIKEL BERKAITAN:Disahkan Paru-Paru Berair, Datuk M Daud Kilau Kini Stabil – “Bila Rasa Penat Dia Akan…”

ARTIKEL BERKAITAN: Raja Gelek, Datuk M Daud Kilau Kritikal Akibat Paru-paru Berair

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin