Meriahnya! Rumah Nenek Lofa Jadi Tumpuan

Kedatangan Syawal setiap tahun sudah tentu dinantikan oleh semua umat Islam. Waktu paling terbaik untuk berjumpa sanak saudara dan rakan taulan!

Momen ini juga dinanti-nantikan oleh pengacara dan pelakon terkenal Neelofa yang pulang ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.

“ Setiap kali raya, memang kecoh dibuatnya apabila lebih kurang 50 ahli keluarga berkumpul di rumah nenek di sini.

“Bagaimanapun, apabila menginjak dewasa, kehidupan sudah mula berubah.

“ Ada antara adik-beradik dan sepupu sudah berkeluarga dan mempunyai kehidupan masing-masing, jadi masa bersama semakin berkurangan.

“Tetapi, kami sekeluarga tetap mengamalkan tradisi berkumpul dan meluangkan masa bersama selama beberapa hari pada hari raya,” katanya kepada BH Online.

Neelofa juga tidak pernah membataskan dirinya untuk bergaul bersama ahli keluarga biarpun sudah dikenali ramai.

“Saya dan seluruh keluarga amat rapat dan kalau bertemu, pasti ada saja ‘membawang’ sesama sendiri. Bukan cerita orang lain, tetapi perihal diri sendiri menjadi bahan usikan.

“ Jadi lebih seronok apabila bertemu pada hari raya, kami lebih berseronok berkumpul dan ‘membawang’ sesama sendiri,” katanya.

Tambah Lofa, setiap kali raya rumah neneknya pasti diserbu peminat memandangkan kediamannya diketahui penduduk di sekitar sana.

“Kebiasaannya, kami menyediakan khemah untuk sanak-saudara dan peminat yang datang beraya. Hari raya kedua dan ketiga pun rumah nenek masih penuh dengan tetamu.

“Saya hanya duduk di rumah apabila pulang berhari raya di Kelantan, malah ada ketikanya saya tidak keluar langsung. Saya lebih senang melayani tetamu daripada keluar rumah, jalan raya terlalu sesak,” katanya.

Berkongsi soal juadah raya, tugasan memasak kebiasaanya dilakukan oleh ibu dan ibu saudaranya.

“ Juadah wajib pagi raya pula tentulah nasi dagang bersama gulai ayam, ikan dan udang.

“Saya suka ayam kuzi juga. Hari raya masa untuk saya menikmati makanan, kadang kala sampai tiga kali makan,” katanya yang pulang ke Kelantan sehari sebelum raya. 

Sumber: BH Online

 

SGMS Faida