#SFMM38: Isu Selesai, Ernie Zakri Bakal Nyanyi Lagu Astana Esok!

Tiada lagi penggantian penyanyi, kini Ernie Zakri dimaklumkan bakal menyanyikan sendiri lagu Astana pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) ke-38, esok.

Menerusi satu kenyataan rasmi, Ernie meluahkan rasa lega apabila proses perbincangan antara pihak Universal Music Malaysia dan bekas syarikat rakaman, Rocketfuel Entertainment berjalan lancar.

“Seperti yang diperkatakan sebelum ini, saya selaku penyanyi asal dan komposer lagu ini sudah tentu mahu menyanyikan lagu ini. Mana mungkin tidak. Malah, tidak pernah sekali saya berkata atau mengeluarkan kenyataan tidak mahu dan tarik diri.

“Jadi, selepas melalui proses perbincangan yang panjang antara semua pihak dan pihak Universal Music Malaysia pun tidak pernah menghalang saya untuk menyanyikan lagu ini, saya dengan penuh gembira akan menggalas sendiri tanggungjawab untuk mempersembahkan lagu Astana.

“Terima kasih sekali lagi kepada pihak Universal Music Malaysia yang sentiasa memahami dan percaya akan bakat saya. Kepada peminat dan semua pihak yang sentiasa ambil berat, saya hargai sokongan anda,” katanya.

Sementara itu, pihak UMM menjelaskan Rocketfuel Entertainment ada menghubungi untuk berbincang mengenai penggantian penyanyi dan bersyukur apabila semua pihak dapat mencapai kata sepakat agar isu ini tidak akan berpanjangan.

“Rocketfuel ada menghubungi kami untuk berbincang perkara ini. Selepas mengambil kira banyak perkara selain tidak mahu membiarkan isu ini berlanjutan, jadi Universal Music Malaysia bersetuju dan membenarkan Ernie selaku penyanyi asal dan komposer lagu Astana untuk membuat persembahan.

“Berhubung terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dengan Media Prima Berhad, pihak RIM menyerahkan perkara ini kepada kami di Universal Music Malaysia untuk membuat keputusan. Ditambah lagu ini sudah pun dicalonkan sejak Februari.

“Pada masa sama, kami tidak mahu isu ini terus berpanjangan dan diperdebatkan. Diharap pihak terbabit segera mencari solusi terbaik,” katanya.

Sebelum ini, isu lagu Astana mula menjadi perbualan ramai apabila peminat Ernie Zakri meluahkan rasa kesal selebriti kegemaran mereka itu tidak akan menyanyikan lagu tersebut, sebaliknya diganti oleh penyanyi Nadeera.

Artikel Berkaitan: #SFMM38: “Tak Pernah Cakap Saya Tak Nak Nyanyi Atau Tarik Diri, Namun…” – Isu Lagu Astana, Ernie Zakri Buka Mulut

Artikel Berkaitan:#SFMM38: “Penggantian Penyanyi Lagu Astana Di Luar Pengetahuan Saya” – Ernie Zakri

Artikel Berkaitan: #SFMM38: Nadeera Anggap Ganti Ernie Zakri Sebagai Rezeki Dalam Kerjaya – “Dia Ada Kelebihan & Saya Ada Kekurangan”

Aqilah Paharuzi