Sharifah Amani Sudah Bertunang, Bakal Tamatkan Zaman Bujang Tahun Ini

Pelakon Sharifah Amani, mengumumkan dirinya kini sudah bergelar tunangan orang dan bakal mengakhiri zaman bujangnya pada tahun ini juga.

Menerusi perkongsian di Instagram, Amani memaklumkan dirinya sudah bertunang dengan jejaka pilihan hati di kediaman keluarganya beberapa hari yang lalu.

“Know know got fiancé. Syukur Alhamdulillah. One step closer, til when when,” katanya.

Menerusi perkongsian tersebut, anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar itu juga seolah-olah enggan berkongsi wajah lelaki yang berjaya mencuri hatinya.

Memetik laporan Berita Harian, Amani sedia berkongsi identiti tunangnya pada hari perkahwinannya yang akan dilangsungkan pada tahun ini.

“Nanti ketika bernikah, saya sedia kongsi identiti bakal suami. Sekarang ini, biarlah rahsia dahulu.

“Apa yang pasti, kami sudah kenal sejak empat tahun lalu… Saya selesa mengenalinya,” katanya.

Biarpun jarang berkongsikan perihal peribadi mengenai kisah cintanya di media sosial, pelakon kecil molek ini mengakui tiada niat untuk menyembunyikan berita gembira ini kepada umum.

“Jujur, saya amat berdebar kerana selama ini, kisah peribadi antara yang bukan dijaja sejak bergelar anak seni. Tetapi, saya akur, perjalanan hidup manusia akan bertemu titik bahagia.

“Tiada istilah saya mahu menyembunyikan kebahagiaan yang sedang diteroka ini. Saya percaya, hal bahagia ini juga berhak dikongsi. Justeru, saya kongsi sedikit hari ini,” katanya.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian rakan-rakan selebriti yang rata-ratanya mengucapkan tahniah kepada pelakon itu.

Antaranya, Datin Lisa Surihani, Vanidah Imran, Elfira Loy, Kaka Azraff, Erma Fatima, Siti Saleha, Ummi Nazeera dan ramai lagi.

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain