Nikki Palikat & Audi Mok Akui Sudah Lama Bercerai, Berkawan Baik Demi Anak

Penyanyi Nikki Palikat, akhirnya membuat pengakuan mengejut bahawa dia sudah lama berpisah dengan bekas suaminya yang juga komposer terkenal, Audi Mok sejak pandemik yang lalu.

Menurut Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat menerusi program temubual Melodi, dia memerlukan masa untuk menerima dan tidak berniat untuk menyembunyikan kisah perceraian itu.

“Sebenarnya ya, saya dah bercerai. Perceraian ini berlaku ketika pandemik. Pada waktu itu, kami mencapai kata sepakat, lebih baik macam ini saja (berpisah).

“Kami teruskan sebagai kawan. Memang sekarang ini, hubungan kami lebih baik dari ketika berkahwin. Tapi, sebenarnya saya taknak lagi cerita benda ini sebab sangat menyakitkan,” katanya.

Enggan mengulas dengan lebih lanjut, penyanyi itu turut menafikan perceraian yang berlaku adalah disebabkan orang ketiga dalam perkahwinan mereka sebaliknya, menganggap mereka tidak serasi sejak dulu lagi.

“Tapi yang baiknya, kami sebagai kawan sangat bagus. Jadi, itu sebabnya kita bercerai dan hubungan akan jadi lebih baik. Dan, memang ia jadi lebih baik,” katanya.

Nikki juga menyatakan, dia pernah berasa dirinya gagal dalam semua segi sewaktu mengalami kemurungan dan cuba perbaiki perhubungan demi anak.

“Tapi, apabila saya fikir balik dan teringat apa bekas suami cakap, mungkin kita gagal sebagai pasangan suami isteri, tapi sebagai keluarga kita sudah berjaya sama sekali. Jadi, fokus pada itu sajalah.

“Malah, sebab kenapa saya tak ceritakan benda ini (perceraian) pada awalnya, sebab anak. Selama ini, saya cuba pulihkan keadaan rumah tangga sebab fikirkan anak saja.

“Bila fikirkan anak itu, memang sakit. Jadi, saya cuba tahan semuanya. Tapi, apabila akhirnya saya beritahu anak, dia boleh terima dengan baik dan perasaan saya sangat lega. Anak saya tidak ‘hancur’ dengan perpisahan ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain