“Siapa Orang Tu Nak Kata Saya Istidraj? Jangan Buat Kerja Tuhan,” – Ifa Raziah

Baru-baru ini heboh mengenai penyanyi terkenal, Ifa Raziah mengenai kenyataannya belum bertudung, namun sudah ke Tanah Suci sebanyak tiga kali.

Perkara tersebut telah mencetuskan amarah netizen yang berang dengan kenyataan Ifa serta turut meraih perhatian golongan pendakwah yang rata-rata tidak bersetuju dengan selebriti itu.

Malah, ada seorang ustazah turut mengaitkan ibadah umrah yang dikerjakannya sebanyak tiga kali meski tidak menutup aurat dengan sempurna sebagai tanda-tanda istidraj.

Tidak berdiam diri, Ifa tampil menjelaskan isu tersebut dan menjawab kenyataan ustazah berkenaan, meski selebriti ini tahu kenyataan agamawan itu adalah bersifat secara umum.

“Siapa orang itu nak letakkan istidraj. Dia tahu ke maksud Istidraj? Jangan buat kerja tuhan.

“Setahu saya yang jahil dan seorang pendosa ini, istidraj ith adalah orang yang lupakan Allah SWT… nak sebut nama Allah pun ketat hati dia.

“Walaupun saya seorang pendosa tapi kehidupan saya lagi islam daripada mereka yang memakai tudung.

“Perlu ke saya nak tunjuk waktu malam saya bangun tahajud, perlu ke setiap kali solat saya buat live, perlu ke setiap kali saya belajar mengaji secara online saya buat live.

“Kalau saya ini tergolong dalam istidraj, saya tak buat perkara-perkara ini yang menjadi rutin hidup saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ifa berkata dia boleh saja pergi ke negara lain dengan hasil kurniaan rezeki dan kesenangan yang dimilikinya kini, namun Allah telah menggerakkan hatinya untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.

“Saya boleh pergi ke mana sahaja di dunia ini untuk bercuti.

“Tapi kenapa saya memilih untuk berjumpa dengan Rasullullah SAW dan saya nak cuci dosa saya di Tanah Suci… sebab saya sangat suka ke Tanah Suci berbanding negara lain.

“Di sana saya boleh dekatkan diri dengan Alah SWT dan Rasullullah SAW. Itu ke yang dinamakan istidraj?

“Saya pergi umrah dengan keinginan saya dan dijemput oleh Allah, bukan kerana saya ada duit atau tidak… tapi atas jemputan Allah SWT.

“Kenapa manusia durjana ini semua nak pertikaikan kehendak Allah?

“Allah tahu saya belum bertudung tapi Allah jemput saya untuk belajar perkara baru dalam hidup semasa membuat ibadah.

“Membuatkan saya lebih baik dari dulu dan banyak luangkan masa dekatkan diri dengan Allah,” katanya lagi.

Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 47, mengakui sudah lali dengan tohmahan netizen sepanjang bergelar anak seni  bermula 26 tahun lalu.

“Memang saya tahu buka aurat tu berdosa besar dan benda (menutup aurat) wajib. Dalam live pun saya sebut doakan saya baik-baik, Insya-Allah, saya berubah ke arah itu.

“Tapi bila orang seperti saya yang jahil ini lagi seorang pendosa bagi komen, semua orang tak boleh terima apa pandangan saya.

“Terpulanglah hak masing-masing sebab hidup kita ni diberikan pilihan.

“Kalau orang suka pada saya, Alhamdulillah, kalau orang benci pada saya pun tiada masalah.

“Dipuji pun saya takkan terbang, dihina pun saya takkan tumbang,” katanya.

Artikel Berkaitan: Isu Aurat & Tanah Suci, Netizen Gelar Kenyataan Ifa Raziah Sebagai ‘Jahil’

Artikel Berkaitan: “Bukan Buat Kerja Tuhan, Tapi…” – Ustazah Asma’ Harun Tegur Ifa Raziah

Artikel Berkaitan: #WhazzupNetizen: Bata Didakwa Tiru Design Jenama Terkenal, Nama Vivy Yusof Tercelar, Stesen TV Gelar Manchester United ‘Sampah’ & Ifa Raziah Diselar Amin Idris

Sumber: Media Hiburan

Aqilah Paharuzi