“Saya Tak Nak Jadi Budak-Budak…”- Ini Penjelasan Siti Nurhaliza Mengenai Isu Papan Iklan Digital

Baru-baru ini kecoh ada segelintir pihak yang mempersoalkan penyanyi kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza dipilih untuk menghiasi papan digital tersohor Times Square di New York, Amerika Syarikat.

Penampilan Siti adalah sebagai wakil negara bersempena dengan kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital dunia, Spotify.

Menurut Siti, 43, pihak terbabit sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada pihak Spotify dahulu sebelum mengeluarkan sebarang komen.

“Kalau boleh minta dulu penjelasan daripada pihak berkaitan (Spotify) barulah boleh komen. Kadang-kadang tersalah komen itu yang jadi tak syok,” katanya

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Mohon Siti Nurhaliza Tegur Peminat, Mereka Sangat Rasa ‘Entitled’” – Raja Nazrin Shah SOG

Ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Raya CTDK Holdings di Petaling Jaya, semalam.

Pertikaian itu juga menjadi perbalahan di antara pengguna Twitter yang saling berbalas ciapan termasuklah peminat Siti.

Lantaran itu, terdapat pihak yang mahu pelantun lagu Kuasa Cintamu ini menasihati peminatnya agar tidak bertindak dengan membuat serangan melulu di alam maya menerusi komen dan ciapan.

Tidak cepat melatah, Siti menjelaskan bahawa dia tidak mahu menjadi budak-budak dan apa yang berlaku di Twitter tidak mewakili dirinya mahupun peminat.

“Saya tak nak jadi budak-budak. Apa yang ditulis di Twitter bukan mewakili diri saya pun. Kadang-kadang bukan mewakili peminat saya pun. Orang saja anggap.

“Sepatutnya muzik menyatukan. Betullah, itu yang sebenarnya. Sebab muzik ini sangat universal dan istimewa. Bayangkan saya ke luar negara, mereka tak faham bahasa saya, tapi mereka boleh hargai.

“Itu sepatutnya kena saling menghargai. Itu juga saya cuba terapkan dalam setiap persembahan lagu-lagu saya,” ujarnya.

Atiqah Johari