Sibuk Jual Kek, Nadiyah Shahab Tangguh Bulan Madu

Selepas berkahwin pada November tahun lalu, pelakon Nadiyah Shahab mengaku masih belum sempat menikmati sesi bulan madu bersama suami tersayang, Ben Ali.

Kata pelakon jelita kelahiran Singapura ini, dek kesibukan menguruskan perniagaan kek di bawah jenamanya, Absolut Chocolat, dia terpaksa menangguhkan tarikh bulan madu.

“ Sejak berkahwin, saya dan Ben terlalu sibuk di pejabat. Perancangan untuk bulan madu memang ada tetapi kami perlu mencari tarikh sesuai.

“ Suami pun okay dan sangat kuat bekerja. Jadi tiada tekanan untuk kami berdua yang belum sempat ke mana-mana lokasi untuk berbulan madu,” katanya kepada Xtra.

Tambah pelakon berusia 28 tahun ini, dia dan suami merancang berbulan madu di Itali pada Julai nanti.

“ Jika tiada aral melintang, Insha Allah kami akan bertolak ke Itali. Namun sebelum itu kami perlu menyelesaikan kerja-kerja di pejabat agar semuanya berjalan lancar ketika kami di sana nanti.

“ Mujur syarikat dibantu oleh beberapa kakitangan cekap. Kami tak risau sangat untuk meninggalkan kerja buat sementara waktu,” katanya yang merancang berbulan madu selama 10 hari di sana.

Pasangan Nadiyah Shahab dan Ben Ali selamat melangsungkan pernikahan di The Ballroom at East Coast, Singapura pada 10 November 2018.

 

SGMS Faida