Categories: HiburanTrending

“Single Rancak Dengan Mesej Kerohanian..” – Selepas Setahun, Zayne Tampil Dengan Kaulah Cinta

Kumpulan Zayne yang mempertaruhkan genre nasyid dan ketuhanan tampil dengan single kedua mereka berjudul Kaulah Cinta.

Zayne yang dianggotai oleh empat jejaka iaitu Furqan Fawwaz, Abdul Basit, Naufal Azrin dan Mateen Yaaqub ini melancarkan buah tangan kedua mereka selepas setahun.

“Selepas kami muncul dengan single Rindu, kami tampil dengan pelbagai lagu cover. Sudah setahun kami tak keluar dengan single baharu kerana kekangan pandemik. Syukur Alhamdulillah, akhirnya kami muncul dengan Kaulah Rindu hasil kolaborasi Inteam Digital dan World Peace.

“Sebelum ini, lagu Rindu menampilkan rentak perlahan dan sentimental. Untuk single kedua, kami menampilkan satu kelainan. Kami muncul dengan Kaulah Cinta yang agak rancak yang sesuai untuk remaja,” jelas Furqan selaku ketua kumpulan.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Shaqiel Naufal, Firdaus Rahmat & Mas Dewangga ini merupakan sebuah lagu bergenre pop dengan susunan muzik oleh Mas Dewangga.

“Lirik Kaulah Cinta ini walaupun sekali dengar seperti cinta sesama manusia, hakikat sebenarnya ialah ia menyentuh soal cinta teragung iaitu Cinta Pencipta iaitu Tuhan Yang Maha Esa.

“Video klip yang kami rakamkan di Hotel Mandarin Kuala Lumpur dan sekitarnya juga membawa mesej walau apa yang kita lakukan, kita mesti sentiasa melaksanakan kewajipan kita kepada Ilahi” ujar Naufal pula.

Lagu Kaulah Cinta yang telah pun sebulan dilancarkan kini berada di seluruh platform digital seperti Youtube Inteam Digital, Spotify, Deezer, KKBox, Apple Music dan lain-lain.

Padin