Categories: HiburanTrending

“Harap Tak Terkucil” – 3 Lagu Layak Ke Separuh Akhir Muzik Muzik 36, Haqiem Rusli Bakal Buat Terbaik… Risau Dengan Kesihatan

Penyanyi popular, Haqiem Rusli gembira apabila tiga lagunya, Mimpi, Adlina Marie dan Lara berjaya melayakkan diri ke Separuh Akhir Muzik Muzik 36.

Menurut Haqiem, dia akan memberikan persembahan terbaik biarpun harus membahagikan fokus terhadap dua karya solo (Mimpi dan Adlina Marie) dan sebuah karya kolaborasi (Lara kolaborasi bersama Naim Daniel dan Hael Husaini).

“Sejujurnya saya rasa teruja, ini merupakan kali pertama tiga lagu saya berjaya mara ke peringkat separuh akhir. Pastinya saya mengharapkan ketiga-tiga lagu ini mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36, Insya-Allah.

“Saya akan berusaha dan akan memberikan persembahan terbaik untuk ketiga-tiga lagu ini. Semoga semuanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang, Insya-Allah,” katanya.

Tambah Haqiem, dia mengakui bimbang memikirkan soal kesihatannya dan berharap ia berada dalam keadaan baik untuk menjayakan ketiga-tiga persembahan itu nanti.

“Sukar sebenarnya nak sampaikan tiga lagu dalam dua episod. Seminggu sebelum acara berlangsung, pihak pengurusan dah kosongkan jadual saya untuk memberikan saya rehat, nak jaga stamina dan jaga vokal.

“Sudah pasti kita takut kita akan ‘terkucil’ nanti, atau suara terlampau serak, atau terlalu penat, perkara sebegitu yang kita risaukan. Seperti kebiasaan, saya juga akan belajar di kelas vokal dan bakal membuat persediaan rapi seperti latihan kecergasan dan sebagainya.

“Saya akan kekal optimis dan memandang perkara ini sebagai satu pengalaman baharu yang sangat manis. Insya-Allah, saya tetap akan melakukan yang terbaik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nordiana, Iman Troye, Noraniza Idris & Bunga Antara 10 Terakhir Yang Mara Ke Separuh Akhir Muzik Muzik 36 – Jom Semak SENARAI LENGKAP 30 Lagu Yang Layak!

Nantikan 30 lagu yang bakal bersaing di Separuh Akhir Muzik Muzik 36 yang bakal berlangsung pada 31 Disember 2021 dan 1 Januari 2022!

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.

Padin