Categories: Hiburan

Siti lancar tabung kebajikan peminat

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, hari ini melancarkan tabung kebajikan Sitizoner khusus untuk peminatnya yang kurang bernasib baik.

Siti, 39, berkata tabung berkenaan diwujudkan atas inisiatif beliau yang menganggap peminatnya sebagai darah daging sendiri.

“Siti sudah lama berhasrat untuk mewujudkan tabung kebajikan. Apabila berjaya digerakkan pula, sebelum ini ia cuma diumumkan menerusi laman Facebook peminat.

“Siti memilih untuk melancarkannya secara rasmi hari ini kerana kebetulan kami mengadakan acara perjumpaan dengan peminat. Insya-Allah, tabung ini akan terus diaktifkan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ulang tahun kelab peminatnya, Sitizone, yang ke-14, yang diadakan sekali dengan sambutan hari lahir beliau, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Siti turut menyampaikan sumbangan kepada peminatnya yang kurang bernasib baik, Irham Hafidz, Shaihanim Shariff, Zarina Omar dan waris kepada peminatnya di Indonesia yang baru meninggal dunia, Darjadi Duprayitno Dapat.

“Selain sumbangan yang diberikan secara peribadi, ia juga adalah hasil daripada wang penyertaan peminat ke majlis hari ini,” katanya.

SGMS Enal