Siti Nurhaliza Dedah Mengapa Lagu ‘Bukan Cinta Biasa’ Sentiasa Jadi Pilihan Dalam Setiap Konsert

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan mengapa lagu hitsnya iaitu Bukan Cinta Biasa sentiasa menjadi pilihannya di setiap konsert yang dijayakan beliau.

Menerusi perkongsian di Instagram Stories baru-baru ini, Siti berkata lagu Bukan Cinta Biasa merupakan lagu yang sentiasa berada dalam senarai lagu dalam setiap persembahannya.

Siti menganggap lagu yang ditulis oleh pemuzik Indonesia, Dewiq dan Siti sendiri itu mempunyai keunikan tersendiri apabila menjadi satu ‘trademark’ bagi setiap persembahannya.

Kongsi Siti lagi, lagu ikonik tersebut juga sentiasa menjadi ingatan peminatnya dari pelbagai latar kaum.

“Bila fans kata saya asyik nyanyi lagu yang sama ulang-ulang Bukan Cinta Biasa, ini jawapannya.

“Sebab lagu ini lagu trademark kalau penonton dari pelbagai bangsa hadir ke persembahan saya.

“Bukan Cinta Biasa ini memang sesuatu dan jarang saya ketepikan dalam show-show saya,” tulisnya.

Terdahulu, tular di media sosial yang memaparkan seorang penyanyi dan penulis lagu terkenal, Sam Tsui membuat kandungan (content) dengan memilih lagu nyanyian Siti iaitu Bukan Cinta Biasa adalah lagu popular yang mewakili Malaysia.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian Siti sendiri apabila dia turut mengucapkan terima kasih kepada Sam kerana memilih lagunya itu.

“Terima kasih @TheSamTsui kerana memilih lagu saya,” tulis Siti.

Untuk info, Siti bakal beraksi di Konsert yang diberi nama Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang akan berlangsung pada 9 Mac 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Khairil Khusyairi