Fattah Amin Akui Jarang Melepak Selepas Berkahwin, Mohon Rakan-Rakan Tak Terasa Hati – “Tak Boleh Nak Me Time Sangat Sebab…”

Pelakon Fattah Amin akui semakin jarang keluar melepak dengan rakan-rakan selepas mendirikan rumah tangga dan bergelar seorang bapa.

Memetik laporan Harian Metro, Fattah berharap rakan-rakan memahami statusnya dan tidak terasa hati kerana tidak dapat meluangkan masa bersama mereka.

“Memang tidak dinafikan sejak ada Fatima, saya memang jarang keluar dengan kawan-kawan lelaki kecuali bila betul-betul perlu. Maksudnya kalau ada mesyuarat ke, barulah saya keluar.

“Saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama dengan keluarga. Tapi, memang ada juga rakan-rakan yang menghantar mesej bertanya, namun saya balas saja pertanyaan mereka.

“Apa yang penting, kepada kawan-kawan saya mohon jangan terasa biarpun lama tidak berhubung. InsyaAllah nanti adalah rezeki, mungkin raya boleh datang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Fattah lebih gemar bermain ‘game’ sekiranya mempunyai masa yang lapang.

“Saya juga suka bermain game, itulah yang sering dilakukan kalau ada masa untuk diri sendiri.

“Apapun, bergantung kepada keadaan jika anak ke rumah sepupu atau sibuk dengan aktivitinya, barulah saya bermain game.

“Cuma tidak boleh hendak ‘me time’ sangat kerana sudah berkeluarga kan? ‘Me time’ saya adalah bila saya dapat main game,” ujarnya.

Untuk rekod, Fattah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Nur Fazura pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Maya Basir