Didakwa Lakonkan Aksi Berunsur ‘Soft Porn’, Shukri Yahaya Tampil Mohon Maaf – “Saya Terlampau Bersungguh-Sungguh”

Pelakon Shukri Yahaya mengakui kekhilafan diri yang didakwa melakonkan adegan berunsur ‘soft porn’ menerusi drama terbaharunya yang berjudul Layang-Layang Perkahwinan.

Menurutnya, babak tersebut berlangsung semasa hari pertama penggambaran dan dia teruja tanpa memikirkan sensitiviti penonton.

Malah, dia tampil memohon maaf dan memberitahu tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

“Pada awalnya, saya bayangkan babak itu sedikit. Lagi pun itu hari pertama shooting dan saya terlampau bersungguh-sungguh untuk jayakan watak.

“Saya minta maaf sebab apa yang terjadi itu datangnya dari kesilapan saya sendiri.

“Ia takkan berulang kembali,” ujarnya semasa ditemui di sidang media drama Layang-Layang Perkahwinan di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Sementara itu, pelakon berusia 36 tahun menjelaskan teknik lakonannya yang tidak suka membaca skrip terlebih dahulu dan hanya melakukan interpretasi sewaktu hari penggambaran.

“Saya terus terang bahawa saya tak suka baca skrip, dan sejenis yang bila berada di set penggambaran baru buat interpretasi berdasarkan skrip,” jelasnya.

Mengulas tentang dakwaan dibenci netizen kerana melakonkan babak berkenaan, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku ini mengatakan dia cuba untuk membawa kelainan dalam karier lakonannya.

“Saya nak cuba nampak lain sebab sebelum ini saya selalu bawa watak lelaki bodoh-bodoh.

“Jadi, saya nak buktikan pada semua orang saya boleh bawa watak ini tetapi percubaan saya itu tidak diterima orang ramai kerana ia agak sensitif.

“Sekali lagi saya minta maaf,” katanya.

Terdahulu, tular klip video daripada drama tersebut yang memaparkan watak Shukri sedang mandi sebelum didatangi watak Alya Iman yang masuk ke dalam bilik air.

Shukri yang tidak mengenakan baju kemudiannya bertindak menarik tangan Alya dan aktres tersebut memberikan senyuman.

Potongan video tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

Maya Basir