Siti Nurhaliza Jadi Pembayar Tertinggi, Tak Pernah Gagal Bayar Zakat – Lembaga Zakat Selangor

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah penyumbang zakat tertinggi dalam kalangan penyanyi di Malaysia.

Menurut laporan Harian Metro, perkara tersebut didedahkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam sebuah forum yang turut dihadiri Siti.

“Boleh dikatakan dalam kalangan artis atau lebih tepat kategori penyanyi, saya boleh katakan Siti adalah pembayar tertinggi zakat di LZS.

“Harapnya selepas ini, akan ada lebih ramai rakan artis yang mengikut jejak langkah Siti.

“Beliau dalam tempoh lima tahun tidak pernah gagal membayar zakat, walaupun banyak membuat kerja kebajikan lain seperti menguruskan Yayasan Nur Jiwa dan sebagainya,” kata moderator program anjuran LZS tersebut.

Dalam pada itu, Siti berkata, dia pada mulanya membuat pembayaran di tempat kelahirannya di Pahang, dan kini membayar zakat di Selangor.
“Sejak mula aktif menyanyi sehingga tahun 2019 saya membuat pembayaran zakat di Pahang. Kemudian selepas berkahwin saya bayar zakat di LZS sehingga hari ini.
“Saya ini boleh dikatakan insan bertuah sebab sejak kecil mak selalu mengingatkan saya mengenai zakat.

“Selagi bernyawa, apa yang boleh saya teruskan (bayar zakat), saya akan cuba laksanakan. Lagipun dalam Rukun Islam kita perlu memenuhi kewajipan ini.

“Saya percaya zakat juga menyucikan semula harta-harta yang kita miliki. Saya sentiasa nak jadi orang yang dapat meringankan beban orang lain,” katanya.

Tambah Siti yang juga usahawan ini lagi, dia memberi keutamaan untuk membayar zakat terlebih dahulu kerana selalu diingatkan sejak kecil lagi.

“Membayar zakat ini memang sudah diingatkan dari kecil lagi sehinggakan setiap pendapatan yang diterima, saya akan buat potongan awal sebelum membayar komitmen lain.

“Bagi saya, ini adalah tanggungjawab setiap umat Islam dan syarikat. Jika kita nak harta kita bersih daripada perkara yang tidak diingini kita kena selalu ingat untuk berzakat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza Giat Bantu Palestin – “Saya Tak Ada Niat Lain, Saya Hamba Allah Yang Ada Tanggungjawab”

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Itu Titik Peluh Mereka” – Isu Selebriti Didakwa Tak Bayar KWSP Pekerja, Ini Reaksi Siti Nurhaliza

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi