Siti Nurhaliza Mahu Kembali Beraksi Dalam Konsert Berskala Mega Di Stadium Nasional Bukit Jalil? – “Mungkin Sebelum Saya Bersara”

Minggu lalu hangat dibualkan di media sosial mengenai jumlah penonton yang menghadiri konsert kumpulan Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur yang menandingi rekod 19 tahun yang dicipta penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tular di media sosial apabila muncul satu senarai yang menunjukkan 20 konsert yang diadakan di SNBJ mengikut bilangan penonton terbanyak.

Senarai tersebut menyaksikan kumpulan asal United Kingdom, Coldplay berjaya mengatasi penyanyi kesayangan ramai negara dengan mencatatkan jumlah penonton tertinggi.

Ternyata ramai yang memberikan pelbagai reaksi seperti mahu pelantun lagu Jerat Percintaan itu kembali beraksi di Stadium terbesar Asia Tenggara itu dengan jumlah penonton yang mampu pintas kumpulan Coldplay.

Malah perkara tersebut mendapat perhatian oleh Siti Nurhaliza sendiri apabila dia memberi respons terhadap laporan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar.

Menerusi satu tulisan di X, Siti berkata, berkemungkinan konsert berskala mega itu diadakan sebelum dia bersara agar dapat menjadi momen manis buat semua.

Kongsi Siti lagi, dalam masa terdekat ini masih belum ada perancangan untuk membuat konsert skala mega tersebut di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Sedih dan terharu baca tulisan wartawan Kosmo.. mungkin boleh jadi kenyataan atau mungkin tidak ye?

“Kalau nak buat di stadium nasional sekali lagi, mungkin sebelum saya bersara ye.. biar jadi kenangan terindah buat semua.

“Doakan kalau ada rezeki… setakat ini belum lagi,” tulis Siti di media sosial.

Untuk rekod, Siti pernah menjayakan Konsert mega Siti Nurhaliza Fantasia Tour 19 tahun lalu yang dihadiri seramai 70,000 penonton.

Lebih manis, Siti Nurhaliza Fantasia Tour merupakan satu-satunya konsert tempatan mencatatkan rekod penonton tertinggi di SNBJ sebelum ini.

Namun selepas 19 tahun, rekod itu berjaya diatasi Coldplay yang mengadakan konsert Music Of The Spheres World Tour pada 22 November lalu dengan jumlah kehadiran sebanyak 75,000 orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih Dua Dekad Dalam Industri Seni, Siti Nurhaliza Pasang Impian Buka Galeri Khas – “Lebih Bagus Saya Buat Sendiri Sebab…”

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza Mahu Kembali Beraksi Di Royal Albert Hall & Rakam Album Tradisional Baharu!

Khairil Khusyairi