Siti Nurhaliza Mahu Kembali Beraksi Di Royal Albert Hall & Rakam Album Tradisional Baharu!

Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui mahu kembali beraksi di pentas Royal Albert Hall, London.

Menurut Siti, impiannya kali ini adalah untuk mempersembahkan muzik tradisional sekali gus memartabatkan irama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Apa yang belum lagi dapat saya lakukan untuk terus memeriahkan (industri) adalah untuk mengenang lagu-lagu irama Malaysia.

“Mungkin saya bercita-cita untuk mengadakan konsert tradisional seterusnya dan bawa muzik Malaysia ke Royal Albert Hall kembali, dan juga pentas antarabangsa sekiranya ada rezeki.

“Walaupun saya ada perancangan kerja saya dalam jangka masa 3 tahun ke depan namun semuanya bergantung kepada situasi dan juga rezeki,” kongsinya kepada XTRA baru-baru ini.

Siti tampil dengan persembahan lagu irama Malaysia ketika menjayakan konsert Siti Nurhaliza On Tour pada 2019

Jelas pelantun lagu Hati Kama ini lagi, irama tradisional adalah salah satu warisan yang perlu diingati setiap lapisan masyarakat agar ia terus berkembang.

Malah, Siti yang sinonim dengan genre irama Malaysia itu turut mengimpikan untuk keluarkan album tradisional baharu kelak.

“Saya sangat berharap artis popular sekarang rakamkan lagu berirama rakyat dengan susunan muzik yang baharu, tidak mengapa untuk disesuaikan dengan generasi sekarang.

“Asalkan pendengar masih dapat ingat dan menghargai lagu warisan kita sendiri. Jangan kita terlalu terbawa dengan lagu luar sehingga lupakan lagu warisan kita.

“Impian saya juga mungkin akan keluarkan album tradisional baharu dan nak buat konsert tradisional sepenuhnya sekali lagi, Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan buat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Siti juga bakal muncul di konsert penyanyi dan komposer terkemuka dari Kazakhstan, Dimash Qudaibergen pada 24 Jun ini dan bersama Maestro sohor dunia, David Foster dalam konsert jelajah Hitman David Foster And Friends Asia 2023, pada Ogos depan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tolak Permintaan Peminat Dengan Adab Supaya Tak Dinilai Buruk” – Siti Nurhaliza

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza Cipta Magis Bakal Sepentas Dengan David Foster – “Saya Tak Akan Sia-Siakan Peluang Ini”

Khairil Khusyairi