Categories: HiburanSelebriti

Tiket Terjual Habis, Siti Nurhaliza Terkejut Masih Diterima Ramai

Selepas mengadakan persembahan di Jakarta Indonesia untuk konsert jelajah tiga negara, penyanyi tersohor Dato Seri Siti Nurhaliza Taruddin mengaku terkejut melihat jumlah penonton yang hadir di Istora, Senayan.

Penyanyi berusia 40 tahun ini meluahkan rasa syukur serta terima kasih kepada peminat yang datang dan berjanji menambah baik segala kekurangan di konsert akan datang.

“ Dengan kemunculan ramai artis muda masa kini, saya bersyukur kemunculan saya masih mendapat perhatian di sana.

“ Itu yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk beraksi lebih baik di konsert di Singapura (2 Mac) dan Kuala Lumpur (16 Mac) ini.

“ Pihak penganjur dan saya sendiri sudah melihat beberapa kekurangan semasa konsert di Jakarta dan kami akan perbaiki di lokasi seterusnya nanti,” katanya kepada XTRA.

Kata pelantun Bukan Cinta Biasa ini, beliau memaklumkan terdapat sedikit perubahan dalam susunan lagu dan kesan visual berbeza di setiap lokasi konsert.

“ Ada peminat sama yang datang untuk ketiga-tiga konsert jelajah kali ini namun majoritinya adalah peminat yang berbeza.

“ Jadi pihak penganjur memutuskan untuk menampilkan perbezaan dari segi susunan lagu, paparan visual serta busana yang saya pakai.

“ Manakala persamaan untuk ketiga konsert ini adalah penyanyi Tulus akan tetap muncul di semua lokasi konsert jelajah kali ini,” katanya.

Difahamkan, jualan tiket konsert Siti Nurhaliza On Tour 2019 sudah habis dijual. Jangan lupa untuk jumpa penyanyi nombor satu negara ini di Singapura pada 2 Mac dan Kuala Lumpur pada 16 Mac depan!

SGMS Faida