Siti Nurhaliza Terkejut Tengok Gelagat Anak Di Sesi Photoshoot!

Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza terkejut melihat reaksi puteri kesayangannya, Siti Aafiyah ketika diminta bergaya di depan kamera dengan busana Creacion by Siti Nurhaliza, baru-baru ini.

Beliau yang berkongsi pengalaman ketika di studio menjalani sesi penggambaran memaklumkan Aafiyah amat ‘mesra lensa’.

“ Waktu penggambaran berlangsung, dia sangat bertenaga. Saya dan pihak produksi juga sudah atur ‘strategi’ dengan melakukan photoshoot ketika Aafiyah sudah cukup tidur dan kenyang.

“ Sesi photoshoot untuk Aafiyah dijalankan dahulu sebelum saya masuk ke set. Bila Aafiyah nampak saya, masa tu dia memang mahu saya mendukungnya,” kata Siti ketawa.

Beliau ketika ditemui di sidang media Creacion & Simplysiti by Siti Nurhaliza turut memberitahu sudah menyediakan beberapa helai baju untuk Aafiyah gayakan pagi Syawal nanti.

“ Saya ada tempah juga beberapa helai. Kebanyakannya warna dan rekaan semua sedondon dengan saya.

“ Sudah tentu keutamaan lebih banyak diberikan kepada Aafiyah untuk sambutan Hari Raya kali ini,” akhiri Siti.

Creacion & Simplysiti by Siti Nurhaliza telah diperkenalkan pada Mac 2016 tampil dengan 43 koleksi istimewa bercorak art deco yang dihasilkan dengan penggunaan bahan premium yang menjadikan rekaan ini eksklusif.

Lebih istimewa, pertunjukan fesyen Creacion & Simplysiti by Siti Nurhaliza kali ini diadakan di Malaysian Petroleum Club KLCC, Menara 2 yang membawa konsep Exclusive & Classic sepadan dengan konsep rekaan Creacion pada tahun ini.

Oleh: SGMS Fas/ Najmi

SGMS Faida