Siti Nurhaliza Teruja Berduet Dengan Awie… Peminat Pula Tak Sabar Nak ‘Rebut’ Album Fizikal SITISM! – “Genre Pasti Berbeza, Nantikan!”

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi berita gembira yang memaklumkan album terbarunya berjudul SITISM telahpun lengkap dengan 12 lagu.

Mengambil peluang berkongsi di platform radio Kool 101 di segment pagi bersama Haiza dan Muaz, Siti Nurhaliza mendedahkan salah satu lagu tersebut adalah hasil duet bersama penyanyi rock terkenal, Datuk Awie.

“Alhamdulillah, akhirnya selesai juga album SITISM. Sebanyak 12 lagu ditampilkan dan ada satu lagu adalah hasil kolaborasi bersama seorang artis lelaki yang dah lama saya impikan untuk berduet dengan beliau.

“Saya rasa abang Awie pun dah bagi tahu, beliau akan menyanyi dengan saya. Cuma lagu macam mana, semua kena nantikan. Memang sangat lain daripada genre yang selalu abang Awie nyanyikan,” katanya.

Perkongsian tersebut meraih perhatian peminat-peminatnya yang teruja untuk menantikan album SITISM milik pelantun lagu Romansa Kita ini.

Bukan itu sahaja, berdasarkan ruangan komen ramai yang tidak sabar untuk merebut atau membeli album tersebut yang sudah pasti akan menjadi hits kegemaran ramai!

“Album fizikal #SITISM Siti Nurhaliza adalah sejenis limited dan collectors’ item. Jadi standby je la Sitizoners! Peperangan akan bermula. Masa open pre-order nanti pastikan cepat order,” tulis salah seorang peminatnya di Twitter.

Sebelum ini, salah satu lagi daripada album SITISM berjudul Romansa Kita menerima kritikan segelintir peminatnya selepas Siti Nurhaliza pertama kali menyanyikan lagu tersebut di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH 35) Jumaat lalu.

Siti bagaimanapun dengan tenang membidas komen-komen tersebut yang memohon peminatnya untuk menghargai hasil setiap pengkarya muzik.

Artikel Berkaitan: Ada Peminat Kritik Romansa Kita Tak Sedap, Ini Respons Siti Nurhaliza

Sementara itu, ketika malam anugerah yang sama terdapat juga beberapa netizen teruja mendengar vokal beliau yang dikhabarkan semakin pulih.

Namun begitu, pengurusya, Rozi Abdul Razak menjelaskan suara penyanyi nombor satu tanah air ini berkata suara beliau masih belum pulih sepenuhnya serta akan mengambil masa yang lama untuk kembali seperti sedia kala.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pengurus Kongsi Keadaan Terkini Suara Siti Nurhaliza – “Ambil Masa Untuk Pulih 100%…”

Kredit: Kool 101

Aqilah Paharuzi