Status Rumah Tangga Diana Danielle & Farid Kamil Diketahui Khamis Ini, Peguam Harap Kes Cerai Selesai Cara Baik

Perbicaraan kes perceraian antara pelakon, Diana Danielle dan Farid Kamil akan diketahui pada Khamsi ini.

Menurut peguam yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, kedua-dua pihak difahamkan sudah berbincang dan bersetuju mengenai perceraian, tuntutan nusyuz termasuk hak penjagaan anak yang difailkan mereka sebelum ini.

Malah, pihak mahkamah di sini, hari ini hanya mendengar hasil perbincangan daripada kedua pihak bagi keputusan permohonan Diana terhadap hadanah interim (hak penjagaan anak sementara).

“Kedua-dua pihak juga sudah berbincang mengenai semua kes berkaitan antara mereka termasuk cerai. Jadi, satu perjanjian penyelesaian sudah disediakan untuk kedua-dua pihak memasukkan semua terma bagi menyelesaikan kes secara menyeluruh,” katanya.

“Pihak mahkamah hari ini juga menangguhkan keputusan mengenai hak penjagaan penuh anak sebab mahu selesaikan secara menyeluruh dahulu kerana tidak mahu ada sebarang pertikaian lagi selepas semuanya dipersetujui oleh kedua belah pihak.

“Sepatutnya pada Khamis ini juga, pihak Mahkamah Rendah Syariah pula akan meneliti semua hasil dapatan daripada laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP). Namun, di situ kami akan maklumkan mengenai perjanjian bersama mereka dan sekiranya semua lancar maka proses cerai boleh diteruskan pada hari itu,” jelasnya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, keputusan permohonan hak penjagaan anak sementara masih berpihak kepada Diana. Namun, sehingga kini hak lawatan Farid dengan anak berjalan lancar.

“Alhamdulillah, kita hampir sampai ke penghujung. Buat masa ini, sudah ada draf perjanjian dibuat. Cuma, ada beberapa perkara yang perbetulkan sedikit lagi,  Jika semuanya lancar, kita akan rekod penyelesaian dibuat di mahkamah pada 21 Ogos ini,” katanya.

Difahamkan, Farid tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini atas masalah kesihatan.

Terdahulu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.

Bagaimanapun, Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya.

Susulan itu,  Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses penyelesaian melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Sekadar info, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin