Suami Miera Leyana Kekal Tuntutan Nusyuz, Bekas Isteri Sedia Pertahankan Diri -“Tak Tahu Apa Dia Nak”

Bekas isteri kepada suami pelakon, Miera Leyana iaitu Adibah Abd Mutalib yakin dan bersedia mempertahankan dirinya tidak melakukan nusyuz seperti yang didakwa.

Menurutnya, dia bingung dengan kemahuan bekas suaminya itu dan yakin dirinya tidak bersalah.

“Saya yakin saya tidak nusyuz. Saya pun tak tahu apa dia nak (Rosland Othman) dan saya sedia membela diri,” katanya.

Memetik laporan mStar, Rosland memilih untuk meneruskan tuntutan nusyuz terhadap Adibah walaupun mereka sah bercerai talak satu pada 3 Ogos lalu dan tetap mahu meneruskan perbicaraan.

ARTIKEL BERKAITAN:Suami Miera Leyana, Rosland Othman Sah Cerai Isteri Pertama Dengan Talak Satu

Menurut peguam yang mewakili Adibah, Mohd Junid Ramli berkata, Adibah selaku defendan sudah berusaha menyelesaikan segala tuntutan berkenaan sebelum bercerai, namun bekas suaminya kekal dengan pendirian mahu mendakwa defendan dengan alasan tidak patuh ketika masih bergelar pasangan suami isteri.

“Itu hak dia untuk meneruskan kes di mahkamah. Mungkin dia ada alasan tersendiri, saya hanya menjalankan tugas membela anak guam saya.

“Sebelum ini, ada perbincangan sejak awal lagi untuk selesaikan kes di luar mahkamah secara baik,” jelasnya.

Bagaimanapun, perbicaraan tuntutan nusyuz akan disambung semula pada 21  dan 26 September depan selepas Hakim Syarie Abdul Fatah Kamarudin menangguhkan perbicaraan sehingga penandaan dokumen selesai.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin