Suntik Budaya Silat & Keunikan Bandar Sejarah Melaka, Animasi Popular Mechamato Movie Bakal ‘Gegar’ Pawagam Pada 8  Disember Ini!

Tersenarai dalam Top 3 Tokyo Anime Award Festival 2023, penantian filem animasi popular Mechamato Movie bakal terubat apabila akan ditayangkan secara serentak pada 8 Disember ini di seluruh 150 pawagam Malaysia dan Brunei.

Filem sebuah terbitan bersama untuk kali kedua antara MONSTA dan Astro Shaw bertaraf antarabangsa ini berkisah tentang Amato iaitu bapa kepada BoBoiBoy secara tidak sengaja bertemu MechaBot sebuah ‘Power Sphera’ yang berkebolehan untuk ‘Mechanize’ dengan objek lain.

Mechamato Movie berlatarkan sebuah bandar fiksyen yang diinspirasikan dari Bandar Hilir di Melaka serta menampilkan keunikan budaya Malaysia seperti silat, budaya peranakan dan makanan tempatan digabungkan dengan elemen futuristik seperti robot dan kapal angkasa.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak yang juga merupakan penulis dan pengarah filem ini berkata, “Ia adalah cita-cita MONSTA untuk memperkasakan budaya Malaysia menerusi Mechamato Movie,”.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad meluahkan rasa teruja dalam menerbitkan filem animasi yang sudah lama dinantikan.

“Astro Shaw selaku penerbit bersama yang juga pemasar dan pengedar, mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap produksi animasi tempatan sepertim MONSTA. Mereka mempunyai kredibiliti dan trek rekod yang baik dalam membawa nama Malaysia ke peringkat global.

“Menerusi Mechamato Movie, MONSTA meletakkan standard baharu sebagai filem berkaliber antarabangsa,” katanya.

Penghasilan Mechamato Movie terbitan MONSTA dan Astro Shaw telah mendapat sokongan penuh MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation).

Manakala lagu tema Mechamato Movie berjudul Temaniku dinyanyikan oleh Yonnyboii.

Aqilah Paharuzi