Categories: HiburanTrending

Syamsul Bakal Hasilkan Filem Bukan Terbitan Skop Production: “Saya Enggan Komen” – Yusof Haslam

Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam mengunci mulut mengenai berita anaknya, Syamsul Yusof yang bakal menghasilkan filem The Original Gangster.

Tidak diterbitkan oleh Skop Production, Yusof enggan mengulas lanjut kerana hal yang melibatkan keluarga boleh dikatakan agak sensitif.

“Saya enggan komen hal berkaitan dengan Syamsul. Itu hak dia. Saya dapat tahu mengenai hal ini pun selepas mendengar daripada orang. Saya tak mahu ulas sebarang perkara berkaitan hal terbabit,” katanya.

Penerbit tersohor itu diminta mengulas mengenai filem baharu, The Original Gangster yang diterbitkan oleh Syamsul Yusof Films Sdn Bhd bersama Razor Edge Pictures.

Tambah Yusof, dia difahamkan Syamsul tidak menerbitkan filem KL Gangster 3 seperti yang pernah dikhabarkan sebelum ini.

“Saya difahamkan juga, Syamsul tak buat KL Gangster 3. Syamsul tukar tajuk dan dia buat cerita ini (The Original Gangster). Tapi itu hak dia. Perkara ini melibatkan anak-beranak, jadi ia agak sensitif,” katanya yang ditemui pada pementasan malam pertama teater Maduku Terpaling Kalut di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC), 1 Utama, Damansara, malam tadi.

Terdahulu, Syamsul berkongsi informasi mengenai karya baharu terbabit menerusi poster acah yang dimuat naik di Instagram, baru-baru ini.

Sutradara filem Munafik itu mendedahkan naskhah The Original Gangster akan menjadi filem aksi moden termahal yang pernah diterbitkan.

Barisan pelakon yang bakal membintangi filem terbabit adalah Datuk Aaron Aziz, Beto Kusyairi, Sharnaaz Ahmad, Datuk Rosyam Nor dan Syamsul sendiri bersama bintang aksi tersohor Indonesia, Yayan Ruhian.

Padin